Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkasawan AS meninggal dunia

    WASHINGTON, 27 Mei – Angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang juga manusia keempat menjejakkan kaki ke bulan, Alan Bean meninggal dunia pada usia 86 tahun, menurut kenyataan keluarganya yang dikeluarkan oleh Pengurusan Angkasa Lepas dan Aeronautik Nasional (NASA).

    Angkasawan yang pernah menjejak kaki di bulan itu, yang bertukar kerjaya kepada pelukis telah meninggal dunia di Houston selepas jatuh sakit secara tiba-tiba seminggu lalu, menurut kenyataan itu lagi.

    Dia merupakan salah seorang daripada ahli elit yang dipilih NASA untuk kumpulan ketiga angkasawan pada tahun 1963 dan menjalani ujian bersama Tentera Laut AS.

    Gambar fail pada 1 Oktober 2008 menunjukkan Alan Bean semasa berada di Perpustakaan dan Muzium Lyndon Baines Johnson di Austin, Texas. Bean yang juga manusia keempat menjejakkan kaki ke bulan, telah meninggal dunia pada usia 86 tahun. – AP

    Bean pernah menjejakkan kaki ke angkasa lepas sebanyak dua kali, masing-masing pada tahun 1969 bersama pesawat Apollo 12 untuk misi mendarat di bulan dan sebagai komander dalam pasukan kedua yang diterbangkan ke stesen angkasa lepas pertama AS, Skylab pada tahun 1973.

    Penerokaan keduanya ke angkasa lepas menyaksikan dia memecah rekod 59 hari yang dicatatkan menerusi perjalanan sejauh 39.3 juta kilometer.

    Bean menamatkan perkhidmatan di NASA pada tahun 1981 untuk meneruskan kerjaya sebagai pelukis dengan mencipta pelbagai lukisan bertemakan Apollo yang memiliki tekstur cetakan kasut bulan atau menggunakan campuran akrilik dan serpihan kecil lencana tampal dari misi angkasa lepas yang pernah disertainya serta taburan debu bulan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda