Angkasawan China kembali ke Bumi selepas misi 90 hari

BEIJING, 17 SEPT – Angkasawan China akhirnya kembali ke bumi hari ini selepas 90 hari, iaitu tempoh paling panjang melengkapkan misi negara itu dalam usaha Beijing menjadi kuasa utama dalam industri angkasa.

Payung terjun yang membawa kapsul dinaiki tiga angkasawan itu mendarat di gurun Gobi pada jam 1:35 tengah hari waktu tempatan.

Misi itu diketuai juruterbang tentera udara Tentera Pembebasan Rakyat, Nie Haisheng yang sebelum ini pernah menyertai dua misi angkasa.

Turut menyertai beliau ialah pasukan tentera Liu Boming dan Tang Hongbo.

Melalui laporan stesen penyiar rasmi, CCTB, semua kru pesawat Shenzhou-12 berada dalam keadaan yang baik walaupun tiga bulan berada di angkasa. Rakaman secara langsung menunjukkan kru perubatan dan kakitangan sokongan yang menaiki helikopter bergegas ke lokasi di gurun Gobi.

Menurut Ketua Pereka Projek Angkasa China, angkasawan negara itu yang digelar ‘taikonauts’ akan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum boleh pulang ke rumah berikutan sistem imunisasi mereka dikhuatiri lemah selepas misi panjang itu.

Misi itu adalah sebahagian daripada program angkasa China yang giat dipromosikan, di mana ia menyaksikan pasukan negara itu mendarat di Marikh, selain menjalani penyelidikan di bulan.

Kru dilaporkan tinggal selama 90 hari di stesen angkasa Tiangong dengan melakukan perjalanan di sana selain eksperimen saintifik. – AFP

Gambar serahan agensi Xinhua menunjukkan angkasawan Tang Hongbo, Nie Haisheng dan Liu Boming melambai di tapak pendaratan Dongfeng di utara Mongolia kelmarin. – AP