Angkasawan kembali dari misi ISS

ALMATY, KAZAKHSTAN, 22 OKT – Seorang angkasawan Amerika dan dua angkasawan Rusia mendarat di steppe Kazakhstan hari ini, menamatkan misi 196 hari ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang bermula dengan pelancaran pertama di bawah perintah berkurung.

Angkasawan NASA Chris Cassidy dan angkasawan Rusia Anatoly Ivanishin dan Ivan Vagner mendarat kira-kira 150 kilometer dari tenggara bandar Kazakh Zhezkazgan pada 0254 GMT, menurut gambar yang disiarkan oleh agensi angkasa lepas Rusia Roscosmos.

Seorang pengulas NASA memetik komunikasi dari kru di darat di tapak pendaratan berkata bahawa kapal Soyuz telah mendarat dalam kedudukan menegak dan kru sedang berusaha untuk mengeluarkan ketiga-tiga angkasawan dari kapal berkenaan.

Ketiga-tiga kru telah berlepas pada April pada masa kira-kira separuh daripada penduduk dunia dikenakan sekatan untuk membendung penularan koronavirus.

Misi itu diadakan serentak dengan ketibaan angkasawan pertama yang berlepas dari negara AS selama hampir satu dekad di stesen angkasa lepas pada Mei.

Misi yang dilakukan oleh syarikat SpaceX sebagai sebahagian daripada Program Kru Komersial NASA telah membantu mencetuskan ‘perlumbaan angkasa lepas’ baharu di antara beberapa negara. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh Rosaviatsiya menunjukkan angkasawan Chris Cassidy duduk di kerusi sejurus selepas mendarat berhampiran bandar Dzhezkazgan, Kazakhstan kelmarin. – AP