Angkasawan tamat misi 90 hari

BEIJING, 16 SEPT – Tiga angkasawan China telah menyelesaikan misi kru paling lama negara itu dan memulakan perjalanan pulang hari ini selepas 90 hari berada di stesen angkasa Tiangong menjalankan eksperimen saintifik dan ‘berjalan’ di angkasa (spacewalks).

“Kapal angkasa Shenzhou-12 berjaya dipisahkan dari model teras stesen angkasa,” kata penyiaran negara CCTV hari ini.

Misi itu adalah sebahagian daripada program angkasa yang sangat dipromosi oleh China, yang sudah pun menyaksikan negara itu mendaratkan sebuah mesin peninjau di Planet Marikh dan menghantar instrumen ke bulan.

Kapal itu membawa tiga astronaut China atau taikonaut dijangka pulang ke bumi esok (Jumaat), lapor berita China Aerospace.

Pelancaran bagi misi manusia pertama Beijing dalam masa lima tahun itu berbetulan dengan ulang tahun ke-100 pemerintah Parti Komunis pada 1 Julai dan menekankan kempen propaganda besar-besaran.

Gambar fail bertarikh 17 Jun menunjukkan angkasawan Nie Haisheng (tengah), Liu Boming (kanan) dan Tang Hongbo melambai semasa majlis perlepasan mereka sebelum menaiki kapal angkasa. – AFP

Tiangong yang bermaksud ‘istana syurga’ dijangka beroperasi kira-kira 10 tahun.

Modul teras stesen angkasa, tempat angkasawan tinggal, mempunyai ruang tinggal berasingan bagi setiap angkasawan, sebuah treadmill angkasa dan basikal senaman, serta pusat komunikasi bagi e-mel dan panggilan video dengan kawalan di bumi, kata pentadbiran angkasa China.

Misi itu diketuai oleh Nie Haisheng, seorang juruterbang pasukan udara berpengalaman di Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) yang sebelumnya menyertai dua misi angkasa lepas.

Dua angkasawan lain, Liu Boming dan Tang Hongbo, juga berkhidmat dengan tentera.

Agensi angkasa China merancang sejumlah 11 pelancaran sebelum hujung tahun depan, termasuk tiga misi bersama manusia yang akan menghantar dua modul makmal untuk melebarkan stesen seberat 70 tan.

ISS dijangka akan ditamatkan operasi selepas 2024, meskipun NASA telah berkata ia boleh berpotensi kekal berfungsi sehingga 2028. – AFP