Saturday, January 25, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkat berat, trend kecantikan badan Kabul

    DIIRINGI rentak muzik Hindi dari alat pembesar suara, kelihatan sekumpulan lelaki Afghan mengerang dan berpeluh melakukan senaman sambil memandang poster Arnold Schwarzenegger yang sasa ketika muda dan tergantung di dinding gim tersebut.

    Rutin itu dapat dilihat setiap hari di mana-mana gim di seluruh bandar Kabul, di mana senaman angkat berat itu telah diamalkan di mana-mana semenjak kejatuhan rejim Taliban di negara tersebut. Sukan itu merupakan tradisi di Afghanistan malah telah diterima oleh Taliban apabila mereka memerintah negara itu dari tahun 1996 sehinggalah 2001, asalkan kaum lelaki memakai seluar panjang ketika mereka melakukan senaman itu.

    Disebabkan tahap sekuriti semakin merosot dan penaklukan Amerika Syarikat (AS), menyebabkan tekanan, trauma dan kehilangan, justeru, lebih ramai anak-anak muda berada di gim melakukan aktiviti tersebut.

    “Semua orang, di mana sahaja di Afghanistan, mahu memiliki bentuk badan yang cantik dan sukan ini menjadi kegemaran anak-anak muda lelaki,” kata Hares Mohammadi, pelajar undang-undang dan sains politik, pemenang angkat berat, turut merangkap sebagai jurulatih di sebuah gim di bandar Kabul.

    Lelaki yang berusia 25 tahun itu, berbaju warna kelabu, memperlihatkan aksi yang pelbagai untuk memperlihatkan bentuk badannya yang besar dan memanaskan seluruh badan bagi persediaannya untuk ikut serta satu pertandingan wilayah.

    Disebabkan tahap keselamatan semakin merosot dan penaklukan AS menyebabkan tekanan, trauma dan kehilangan, lebih ramai anak muda berada di gim melakukan angkat berat.

    Walaupun berdepan dengan risiko letupan dan serangan berani mati, namun kehidupan tetap diteruskan, katanya dan kebanyakan anak-anak muda Afghan mahu meninggalkan jejak mereka. Salah satunya ialah melalui kejayaan sukan ini.

    Justeru, bersama dengan Arnold Schwarzenegger, begitu juga bintang-bintang Hollywood dan Bollywood seperti Sylvester Stallone dan Salman Khan, digantung dan dijadikan sebagai sumber inspirasi mereka, menyebabkan keadaan gim sentiasa sibuk dengan rutin harian mereka, yang diiringi dengan rentak muzik dan mempererat lagi persahabatan.

    Pada hari yang lalu

    Apa yang pasti, ia tidak akan selalu begitu. Legenda angkat berat Afghanistan, Aziz Arezo mengingat kembali semasa zaman remajanya, di mana hanya terdapat sedikit sahaja penduduk di ibu kota yang tahu tentang sukan tersebut.

    Dia sendiri telah berinspirasi untuk melakukan sukan itu setelah melihat beberapa buah filem dan poster antarabangsa seperti Schwarzenegger.

    “Arnold merupakan sumber inspirasi saya,” katanya sambil tersenyum mengingat kembali betapa mahalnya poster bintang terkenal berkenaan pada ketika itu.

    Bercakap kepada AFP sambil mengangkat berat di sebuah gim kecil di Kabul, Arezo memperlihatkan bentuk badannya yang tidak seperti dahulu, meninggalkan jejak kegemilangannya, termasuk dinamakan sebagai tokoh pertama Afghanistan dalam sukan angkat berat oleh Komite Sukan Olimpik negara itu pada tahun 1970-an. Ia merupakan satu perjalanan karier yang panjang dan kenangan yang besar buatnya.

    Kini, dia bergelar sebagai jurulatih, membimbing ratusan belia muda Afghan melakukan sukan itu dengan betul, dia tidak pernah menerima bimbingan ketika dahulu.

    Pada tahun lepas, dia telah menghasilkan segala perkakas di dalam gim miliknya itu dari bekas-bekas peralatan kereta, disebabkan tidak ada kedai yang menjual perkakas itu di Kabul.

    “Saya telah menjadi guru untuk diri sendiri,” jelasnya lagi sambil menambah bahawa peralatannya itu lebih baik berbanding dari luar negara.

    Arezo membimbing ratusan belia muda Afghan melakukan angkat berat dengan betul dan dia tidak pernah menerima bimbingan sebelum ini. – AFP

    Di bawah pemerintahan Taliban, dia telah bekerja selama empat bulan di Kabul di mana akhirnya terpaksa ditinggalkannya, khuatir terhadap pandangan rejim itu terhadap pengangkat berat.

    “Pada hari ini, kelab angkat berat ada di mana-mana di bandar ini dan semua orang menjadikan gim menjadi milik mereka,” jelasnya lagi.

    Dia telah melatih ratusan pengangkat berat dalam kariernya akan tetapi curiga terhadap beberapa cara baharu yang diamalkan oleh anak muda Afghan, termasuk mengambil sumber protein untuk meningkatkan lagi keupayaan mereka. “Saya percaya jika anda aktif dalam sukan, ia lebih baik berbanding protein,” katanya lagi, memberi amaran tentang kesan sampingan produk itu.

    “Sebelum menjalankan senaman, saya akan meminum jus lobak dan pisang, kemudian selepas itu, saya akan mengambil dua biji telur, tiga gelas susu, satu mangkuk kacang dan lentil, ia merupakan makanan harian saya,” jelasnya lagi. “Hari ini, kebanyakan pengangkat berat menggunakan ramuan bukan semula jadi,” tambahnya lagi.

    Stres dan tertekan

    Tidak kira apa pun cara, sukan ini turut membantu menghilangkan trauma psikologi berikutan peperangan yang berlaku selama empat dekad di negara itu, menurut Ali Fitrat, profesor psikologi di Universiti Kabul.

    Secara dasarnya, Afghan tertekan dari pelbagai sudut aspek seperti dalam masyarakat, budaya, ekonomi dan juga politik, tambahnya lagi. Faktor-faktor ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada keadaan ekonomi, sekuriti dan banyak lagi di negara tersebut.

    Selain itu, diskriminasi dan tekanan terhadap gender juga faktor lain yang menyebabkan tekanan negara itu.

    “Penduduk menjauhi zina malah lelaki dan perempuan diasing-asingkan dalam kehidupan mereka,” tambah Fitrat kepada AFP.

    “Namun ada kalanya perkara itu terjadi juga berikutan tekanan yang mereka hadapi disebabkan kekurangan ilmu dan pegangan agama mereka yang tidak kuat,” jelasnya lagi. Justeru, sukan ini merupakan salah satu cara bagi membantu menghilangkan tekanan dan stres yang berlanjutan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda