Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Animasi bukan hanya untuk kanak-kanak

    KUALA LUMPUR – Meskipun berkerusi roda, Josee adalah anak gadis yang bercita-cita tinggi namun dibesarkan oleh nenek yang terlalu melindunginya daripada realiti sebenar kehidupan.

    Josee mahu menggapai impian dan melalui wataknya dalam filem anime Jepun Josee, the Tiger and the Fish karakter remaja ini membawa penonton mengikuti petualangnya sambil membuktikan realisme boleh wujud dalam karya animasi.

    Genre slice of life atau cebisan kehidupan adalah satu genre animasi yang popular di Jepun kerana menyajikan jalan cerita dan gaya yang realistik dan lebih dekat dengan kehidupan pelbagai lapis masyarakat.

    Ini berbeza dengan senario animasi di Malaysia yang kebanyakan lebih tertumpu kepada siri animasi atau filem khusus untuk kanak-kanak.

    Bergerak seiring zaman
    Menurut Pengarah urusan Brainy Bones Studio, Muhammad Hilmi Ismail, bidang animasi sangat luas dan berkembang daripada kartun aksi ke realisme kerana penggemarnya yang semakin dewasa.

    Filem anime Jepun Josee, the Tiger and the Fish karakter remaja ini membawa penonton mengikuti petualangnya sambil membuktikan realisme boleh wujud dalam karya animasi. – Bernama

    “Cuma di Malaysia ada sedikit konflik antara studio animasi dengan pihak pengeluar dana dan pembeli animasi.

    “Contohnya, genre slice of life sangat popular di kalangan peminat animasi tetapi stesen televisyen Malaysia tidak siarkan genre ini. Sebaliknya fokus animasi di sini adalah untuk kanak-kanak seperti siri Pokemon, Beyblade dan cerita-cerita superhero,” katanya kepada Bernama. Jelasnya, faktor ini yang membuatkan ramai masih berfikiran yang animasi hanya sesuai untuk kanak-kanak.

    Mencetus perubahan
    Penghasilan karya siri animasi bukan sahaja melibatkan penggiat dan ahli animasi sebalik tabir malah turut membabitkan banyak pihak termasuk pembeli dan pengguna akhir iaitu penonton.

    Selain selera dan tanggapan penonton yang pelbagai, satu sisi yang penting adalah penerbit dan pembeli yang akan menyiarkan kartun animasi ini.

    “Kita tidak dapat kawal pihak yang pegang duit. Ini antara kekangan yang dihadapi kerana kita tidak menjual secara terus kepada end user (penonton) tetapi kepada produser, stesen TV atau partner (rakan kongsi) melainkan kita ada dana untuk tayangkan di tempat awam seperti YouTube,” katanya

    Memecahkan norma animasi sekadar untuk kanak-kanak juga adalah satu proses rumit kerana masih ramai tidak mengetahui bahawa disebalik karya animasi terdapat banyak mesej padat yang boleh disampaikan, contohnya animasi Kring! Yang diterbitkan Brainy Bones Studio.

    “Ada yang tengok cerita Kring! dengan anak-anak sehingga mengalirkan air mata. Hal ini sebenarnya sangat memberi impak tetapi sayangnya animasi ini tidak sampai kepada ramai penonton kerana norma yang sukar diubah dan memerlukan proses inisiatif berterusan,” katanya.           

    Video animasi pendek Kring! mendapat pengiktirafan Filem Animasi Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Du Sur Les Handicap 2020 di Lyon, Perancis.

    Hilmi antara penggiat animasi yang sudah lapan tahun berkecimpung dalam industri kreatif berpendapat penerbit memainkan peranan penting. Mereka perlu lebih berani menghasilkan karya animasi komprehensif dan boleh dipromosikan di saluran lain seperti Netflix.

    “Tetapi saya rasa untuk mendapat 100 peratus penerimaan kartun bukan hanya untuk kanak-kanak itu mungkin susah kerana akan ada golongan yang terus terpengaruh dengan stigma ‘apa ni dah besar pun tengok kartun’. Tetapi kita boleh berubah ke arah yang lebih berfikiran terbuka,” katanya.

    Lebih terbuka
    Pengerusi Persatuan Pendidik Animasi Malaysia (PPAM), Prof Madya Ahamad Tarmizi Haji Azizan berkata pelbagai inisiatif diambil Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk mengalakkan dan menjana pertubuhan industri animasi di Malaysia.

    “Namun tidak ramai yang mengekalkan momentum kerana penerimaan pasaran Malaysia tidak berkembang seperti di barat disebabkan populasi rendah.

    “Permintaan dan kesedaran masyarakat rendah dan aspek kos pembikinan produk animasi pula sangat tinggi,” katanya ketika ditemubual Bernama.

    Katanya PPAM menggunakan slogan “Animasi Untuk Semua” yang bermaksud ia tidak terikat bukan sahaja kepada tahap umur tetapi untuk semua bidang kerana animasi turut digunakan dalam bidang lain seperti perubatan dan kejuruteraan.

    “Tetapi ia amat kurang diterokai di Malaysia. Rakyat di Malaysia terlalu rigid untuk menerima perubahan dan pembaharuan kerana terlalu banyak birokrasi. Banyak hal tidak dapat tumbuh dan berkembang.

    “Bagi  saya pendidikan animasi ini perlu dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah rendah seperti pendidikan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, Matematik) yang mana turut diperjuangkan PPAM,” jelasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...