Animasi Ejen Ali lancar permainan mudah alih baharu

Siri popular animasi Ejen Ali The Movie telah melancarkan sebuah permainan mudah alih terbaharu, Ejen Ali: Agents’ Arena.

Aplikasi permainan maya hasil kolaboratif REV Media Group, Primeworks Studios dan juga WAU Animation itu kini boleh dimuat turun secara percuma daripada Google Playstore atau Apple App Store.

Pada tahun 2016, Ejen Ali telah melancarkan dua permainan aplikasi popular iaitu Ejen Ali: MATA Academy dan diikuti oleh Ejen Ali: Emergency pada tahun sama. Ejen Ali: Agents’ Arena pula merupakan tambahan terbaharu kepada francais permainan maya daripada siri animasi terkenal itu.

Pada April 2021, aplikasi itu boleh diakses oleh pengguna beta dan berjaya dimuat turun lebih daripada 320,000 termasuk 70,000 pengguna aktif bulanan.

Malah sehingga kini, francais permainan mudah alih Ejen Ali sudah menjangkau keseluruhan 3.7 juta jumlah muat turun dan 201,000 pengguna aktif bulanan.

Antara kandungan dalam permainan mudah alih Ejen Ali: Agents’ Arena. – Agensi

Aplikasi yang merupakan hasil kerjasama Harta Intelek Animasi Malaysia, Ejen Ali: Agents’ Arena merupakan seratus peratus ciptaan Malaysia di mana buat pertama kalinya permainan itu menggunakan ‘multiplayer’ mod, iaitu pemain boleh mengawal satu hero dalam tiga sepasukan bersaing menentang pasukan pihak lawan atau AI bot.

Pada pusingan pertama dalam permainan ini, pemain boleh memilih mana-mana watak kegemaran mereka yang terdiri daripada enam watak utama dalam siri TV animasi ini yang menampilkan Ejen Ali, Ejen Alicia, Ejen Rudy, Ejen Khai, Ejen Roza and Ejen Mika. Penambahan watak, kostum dan arena yang baharu juga bakal diperluaskan pada masa akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, pihaknya dalam usaha menghasilkan lebih banyak lagi produk terbaharu Ejen Ali pada masa akan datang.

“Berdasarkan perbincangan kami dengan unit pembangunan permainan mudah alih ini, usaha REV Media Group untuk memperluaskan Ejen Ali: Agents’ Arena sebagai salah satu e-sukan yang kompetitif untuk peminat Ejen Ali adalah satu visi yang sangat membanggakan terutamanya pada belia dan kanak-kanak.

“Perkembangan lanjut mengenai Ali, pihak produksi sedang bergiat untuk menghasilkan lebih banyak lagi produk terbaharu daripada Ejen Ali.

“Kami berharap peminat akan terus menyokong Ejen Ali tidak kira di mana sahaja sama ada dalam bentuk digital, di skrin TV dan dan juga di pawagam,” katanya. – Agensi