Anjakan paradigma kulinari unik kampung

Oleh Nurdiyanah R.

Hakikatnya dalam dunia kulinari kini, kredibiliti kaum maskulin tidak dapat disangkal lagi bahkan mereka dilihat semakin terus mengorak langkah dalam pentas industri gastronomi tanah air.

Mereka dengan penuh berani mampu menjadikan hasil air tangan mereka sebagai platform keusahawanan sama ada secara sepenuh masa mahu pun sampingan.

Pengalaman mendidik kematangan diri, begitulah semangat kecintaan jejaka ini dalam dunia masakan. Dengan mengikuti beberapa kelas dan kursus dalam bidang kulinari sehingga pernah memegang kerjaya sebagai seorang cef hotel suatu ketika dahulu. Awang Mohammed Ali Asma’e bin Haji Mohammed Nasir kini semakin bergiat aktif dalam mencurahkan sentuhan hasil air tangannya di mata masyarakat di negara ini yang bukan hanya terdiri dari penduduk setempat bahkan juga masyarakat luar negara.

“Sememangnya pelbagai jenis tumbuhan, buah dan juga bunga memiliki rahsia dan seribu khasiat untuk kesihatan yang terkandung di dalamnya. Oleh itu, dengan manfaat yang terkandung di dalamnya, kita juga boleh menjadikan bahan alami dalam sama-sama memartabatkan pelbagai kulinari ala kampung.

“Bukan hanya lazat tetapi juga berkhasiat!,” itulah antara perkongsian insan yang lebih senang disapa sebagai Asma’e ini semasa ditemui penulis ketika berlangsungnya aktiviti demonstrasi masakan kampung di salah sebuah destinasi tarikan pelancongan di Daerah Tutong iaitu Lamin Warisan, baru-baru ini.

Sate Ayam Serai menawan cita rasa bukan hanya sedap tetapi memiliki khasiatnya tersendiri.
Awang Mohammed Ali Asma’e semasa ditemui penulis mengetengahkan salah satu kulinari ala kampung yang dikenali sebagai Sate Ayam Serai semasa berlangsungnya akitiviti demonstrasi masakan kampung.

Bukan hanya mengeluarkan warna yang cantik, namun bunga Rosella ini juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan sehingga kecantikan.

Sate ayam serai menawan cita rasa

Dengan menggunakan isi dada ayam segar yang telah dipotong dan dikisar halus diadun dengan bahan-bahan alami seperti kunyit, lada, bawang, halia serta secukup rasa sehingga sebati. Kemudian disalut adunan isi ayam kisar di setiap batang serai asli seakan-akan seperti sate.

Manakala dengan menggunakan teknik masakan secara digoreng sehingga berwarna kekuning-kuningan maka terhasillah Sate Ayam Serai. Khasiat dari serai ini juga akan meresap ke dalam isi ayam tersebut. Sungguh enak dengan adanya gabungan rasa yang secukupnya dan lebih enak lagi jika dicicah bersama sos kicap pedas.

Tumbuhan serai wangi menjadi minuman penyegar

Selain itu, tumbuhan serai ini juga turut dijadikan sebagai salah satu bahan dalam minuman alami yang mampu memberi kesegaran pada tubuh badan dan ia lebih dikenali sebagai Air Serai Wangi yang memiliki khasiat tertentu untuk semua.

Jelas Awang Mohammed Ali Asma’e, batang dan daun serai sememangnya dapat membantu meningkatkan kesihatan dalaman diri seseorang seperti mengatasi masalah perut meliputi gangguan pencernaan, sakit perut dan perut berangin. Serai juga dapat melegakan loya, mengurangkan keradangan, membantu mengawal tahap kolesterol dan mengurangkan senggugut semasa haid.

Jus dari bunga si cantik merah menawan

Selain itu, bagi menyegarkan tekak, jus bunga Rosella juga menjadi salah satu kulinari istimewa yang ditampilkan oleh Awang Mohammed Ali Asma’e. Ujarnya dengan menggunakan salah satu bahan asas dari bunga Rosella yang telah dikisar halus dan diperah airnya itu dapat mewujudkan rasa kesegaran masam dan manis yang seimbang, sehingga mampu memberi kenikmatan yang tidak terhingga lebih-lebih lagi apabila diminum ketika sejuk.

“Bukan hanya mengeluarkan warna yang cantik, namun bunga Rosella ini juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan hingga kecantikan, antaranya mampu menyeimbangkan kadar gula darah, asam urat, kolesterol; mengatasi batuk dan sakit tekak serta mencegah penyakit kanser.

“Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan berat badan dan juga meningkatkan metabolisme tubuh badan serta mengawetkan kehalusan kulit,” jelas belia yang berasal dari Daerah Tutong ini dengan keyakinan.

Pentingnya keikhlasan

Di akhir pertemuan, Awang Mohammed Ali Asma’e menjelaskan keikhlasan dalam penyediaan itu amat penting disemai dalam diri si tukang masak. Jika hati ini tenang, segalanya akan dipermudahkan. Biarlah segalanya dilakukan dari hati yang bersih agar mampu menghasilkan sesebuah kulinari yang berkualiti.

“Namun sudah semestinya dalam menyediakan masakan dan minuman, perlulah menitikberatkan kebersihan dari segala aspek tertentu meliputi bahan-bahan resepi termasuklah ramuan yang segar dan begitu juga penggunaan perkakas serta kebersihan diri.

“Hal ini amat penting dititikberatkan agar kualiti kebersihan makanan sentiasa terjamin,” tambahnya dengan penuh ketulusan yang turut berharap agar generasi belia di negara ini tampil sama-sama memartabatkan warisan budaya Melayu khususnya dalam bidang kulinari tradisi ini agar tidak pupus ditelan zaman yang semakin mencabar.