Anjing robot jadi haiwan peliharaan

NANJING – Ia sangat cepat, mendengar arahan dan tidak meninggalkan najis yang tidak menyenangkan di lantai, AlphaDog, robot yang dipelihara oleh dua orang pencinta haiwan peliharaan dan teknologi di China.

Anjing berteknologi tinggi menggunakan sensor dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mendengar dan melihat persekitarannya bahkan boleh dibawa berjalan-jalan.

“Ia sangat mirip dengan anjing sebenar,” kata Ma Jie, ketua pegawai teknologi di Weilan, syarikat pencipta produk tersebut.

Penciptanya yang berpangkalan di Nanjing mengatakan anjing robot mereka yang bergerak dengan kelajuan hampir 15 kilometer sejam dan berputar setempat seperti anak anjing yang teruja adalah yang terpantas di pasaran.

Dengan empat kaki logam ia lebih stabil daripada anjing sebenar, kata Ma ketika salah sebuah pasukannya memperkenalkan anjing itu untuk membuktikannya.

AlphaDog robot berkaki empat diuji di sebuah bengkel di Weilan Intelligent Technology Corporation di Nanjing, China. – AFP
Ma Jie, ketua pegawai teknologi untuk Weilan Intelligent Technology Corporation, berjalan menggunakan robot AlphaDog di bengkel syarikat di Nanjing, China. – AFP
Sebuah robot diuji di bengkel di Weilan Intelligent Technology Corporation. Ia bergerak pantas dan mematuhi arahan dikenali sebagai AlphaDog yang sedang berkembang dan dijadikan sebagai haiwan peliharaan. – AFP

“Ia dapat meramalkan geseran dan ketinggian tanah untuk menyesuaikan ketinggiannya, menyesuaikan frekuensi langkah dan menyesuaikan diri dalam lingkungan,” katanya kepada AFP, ketika robot itu bergerak perlahan menaiki tangga.

Penciptanya menggunakan teknologi 5G, kelajuan internet yang sangat pantas dengan masa reaksi segera, untuk membuat robot berfungsi secara autonomi.

Ma mempelajari kajian tentangnya di Universiti Oxford dan mengatakan bahawa beliau telah menggunakan pengetahuan itu untuk memberitahu bagaimana anjing AI meniru tabiat anjing sebenar.

Memiliki anjing dilarang di bawah kepimpinan pengasas komunis China, Mao Zedong tetapi telah berkembang pesat selepas eranya.

Dan pada bulan pertama penjualan, lebih daripada 1,800 AlphaDogs telah laris, walaupun harganya mahal iaitu 16,000 yuan (AS$2,400).

“Tempahan kebanyakannya dari pada pemaju komputer, pakar teknologi dan juga anak-anak, yang sepertinya sangat menyukainya,” kata Ma.

Ketika China berusaha meningkatkan tenaga kerjanya, Beijing telah membuat pelaburan besar dalam robotik dan AI.

Robot sudah digunakan untuk menghantar bungkusan, berkhidmat di restoran, menawarkan maklumat di stesen bahkan mengambil calitan untuk ujian COVID-19.

Bengkel Weilan dikendalikan oleh pemuda yang meminati teknologi, dipenuhi dengan lakaran reka bentuk yang dilukis dengan pensil dan laluan halangan di tangga dan lereng agar rangkanya dapat bergerak dalam ujian.

Pereka di sana berharap penggunaan rakan teknologi berkaki empat pada masa depan dapat memberi manfaat kepada mereka yang cacat penglihatan.

“Untuk menolong orang kurang upaya adalah arah pengembangan yang penting bagi kami,” kata Ma. “Apabila anjing robot mempunyai fungsi penglihatan, pendengaran dan dialog, ia dapat berinteraksi dengan orang kurang upaya dengan mudah dan membawa mereka ke pasar raya atau bas.”

Kemas kini perisian masa depan akan merangkumi anjing ‘menyalak’ dan selain itu, menambahkan suara manusia untuk membenarkan perbualan antara haiwan kesayangan dan pemiliknya.

Terdapat juga model anjing perusahaan yang lebih besar, yang dirancang digunakan bagi pemeriksaan industri mesin atau paip.

Generasi seterus AlphaDog dalam bentuk haiwan peliharaan juga dapat memperkenalkan keperibadian ke dalam rangka robotiknya bagi menjadikannya lebih menyerupai anjing serta memperpanjang jangka hayat baterinya yang agak singkat. – AFP