Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Sempena Promosi Cita Rasa Masakan Iran yang sedang berlangsung, Restoran Anjung Saujana dengan kerjasama Kedutaan Republik Islam Iran telah mengadakan sesi demo masakan Iran untuk 20 orang tetamu khas, hari ini.
Para tetamu khas terdiri daripada wakil kedutaan-kedutaan dan suruhanjaya tinggi luar negara di Brunei Darussalam yang berpeluang menikmati masakan Iran dan belajar tatacara memasak makanan Iran yang unik dengan diketuai oleh Cef Ahmad Karbalaee, cef kulinari dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Islam Iran.
Cef Ahmad Karbalaee yang diiringi oleh cef dari Anjung Saujana, mengetengahkan tiga masakan tradisi Iran sepanjang dua jam demo memasak iaitu Olcieh Salad, Kookoo Sabzi dan Persian Halva.
Demo memasak atau demo kelas memasak itu memberikan sedikit pengetahuan kepada tetamu khas bagaimana menyediakan masakan Iran yang berkualiti, malah para tetamu juga diberikan resipi masakan dan membawa pulang masakan yang dimasak pada akhir sesi demo berkenaan.
Promosi Cita Rasa Makanan Iran telah dilancarkan awal minggu ini dan akan berjalan sehingga penghujung minggu ini di restoran berkenaan.
Promosi berkenaan mempromosikan beberapa kulinari Parsi antaranya Zeresh Polo (Nasi Barberry Saffron ), Joojeh Kebab (Kebab Ayam Saffron Persia), Khoresh Ghormeh Sabzi (Kacang dan Kambing Rebus berempah), Tah Chin Morgh (Baked Persian Saffron Rice with chicken dan Yogurt), Za’atar Man’ouche, Persian Halva, Shole Zard dan banyak lagi.





























