Anjung usahawan luaskan rezeki penduduk Gedong

SIMUNJAN – Tiada istilah terlambat dalam kamus hidup Jamilah Ibur, 59,  yang bertekad untuk berjaya dan menceburi bidang keusahawanan secara lebih serius lagi, biarpun wanita itu sudah menghampiri usia warga emas.

Hasrat Jamilah untuk memulakan perniagaan kedai makanan tercapai apabila dia ditawarkan salah satu ruang perniagaan di Anjung Pembangunan Usahawan Gedong di Kampung Gedong, Simunjan, Sarawak tahun lepas. Pusat keusahawanan yang mula beroperasi sejak 2018 itu bertujuan mempercepatkan transformasi sosioekonomi serta menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Sarawak.

“Saya sudah lama menyimpan niat untuk menjual makanan. Sudah lama juga mencari tapak untuk disewa di sekitar kawasan ini tapi susah nak dapat, jadi bila ditawarkan ruang berniaga ini, ia umpama pucuk dicita ulam mendatang,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini. Anjung Pembangunan Usahawan Gedong merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak untuk menyediakan pusat keusahawanan dengan menempatkan 22 ruang perniagaan untuk kemudahan penduduk  di Gedong dan kawasan sekitarnya. 

Ia juga merupakan antara limpahan kemudahan yang telah disediakan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lepas untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi di kawasan Gedong, yang terletak kira-kira 90 kilometer (KM) dari bandar raya Kuching.

Selain berbekalkan minat mendalam dalam seni masakan, penglibatan Jamilah yang merupakan anak jati Kampung Gedong dalam keusahawanan turut diperkuatkan lagi dengan hasratnya untuk menambah pendapatan keluarga setelah suaminya bersara beberapa tahun lepas.

Anjung Pembangunan Usahawan Gedong merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak untuk menyediakan pusat keusahawanan dengan menempatkan 22 ruang perniagaan untuk kemudahan penduduk  di Gedong dan kawasan sekitarnya. – Agensi

“Lewat ataupun tidak (untuk berkecimpung dalam perniagaan) bukanlah menjadi persoalan besar. Yang pentingnya pendapatan dapat dijana dan pelanggan juga semakin ramai yang datang untuk menjamu selera terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum,” katanya yang berniaga nasi campur, lauk-pauk berasaskan undang galah dan masakan Melayu Sarawak.

Seorang lagi peniaga di Anjung Usahawan Gedong, Nur Faten Amira Mohd Johnson, 31, menzahirkan kesyukuran kerana dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan setelah diberi ruang untuk memulakan perniagaan di premis tersebut sejak enam bulan lepas.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Premier Gedong Berhad Tambi Dan berkata pusat berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan e-dagang untuk para usahawan, dan turut menyediakan perkhidmatan pusat internet dan sebuah mesin ATM.

Tambi berkata anjung usahawan itu dibina oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi menggantikan satu ruang kedai lama sekali gus memberi wajah baharu kepada pusat berkenaan.

“Satu ruang yang diperuntukkan untuk mesin ATM juga memberi manfaat kepada penduduk di sini dan tidak perlu pergi jauh ke Serian yang terletak kira-kira 30 KM atau pekan Simunjan yang terletak kira-kira 22 KM untuk mengeluarkan wang atau perkhidmatan lain yang tidak terdapat di sini ,” katanya. 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang melawat Gedong baru-baru ini berkata Anjung Pembangunan Usahawan Gedong merupakan projek yang melibatkan penyediaan tempat yang selesa untuk berniaga, selain melatih usahawan dalam aspek pemprosesan produk tempatan dan sistem e-dagang.

Katanya pusat berkenaan memfokuskan kepada kemampuan peningkatan para pengusaha tempatan dalam pemprosesan makanan, pembuatan, tenunan dan pengembangan produk selain melatih usahawan dalam keusahawan tekno dan merangsang aktiviti ekonomi kawasan sekitarnya. – Bernama