Anjur pertandingan memasak dalam tempoh PKP

KOTA KINABALU, 28 APRIL – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI) hari ini melancarkan pertandingan ‘Sokong Produk Sabah, Sabah Best Bah’ bagi membantu orang ramai mengisi masa lapang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya Datuk Junz Wong berkata pertandingan itu juga bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan penduduk Sabah di samping mempromosi produk negeri itu melalui media sosial.

Beliau berkata mereka yang berminat menyertai pertandingan ini hanya perlu merakam video pendek berdurasi kurang daripada dua minit yang memaparkan promosi, atau aktiviti memasak apa-apa sahaja masakan sayur-sayuran atau buah-buahan, dengan slogan ‘Sokong Produk Sabah, Sabah Best Bah’ di akhir
video.

“Sejumlah RM400 ditawarkan setiap minggu (kepada pemenang) sehingga PKP tamat. Empat pemenang daripada empat kategori akan dipilih dan diumum secara langsung melalui Facebook pada pukul 1.00 petang setiap Khamis. Setiap pemenang akan menerima RM100,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Junz berkata empat kategori itu ialah video promosi produk Sabah paling kreatif, video promosi produk Sabah paling popular, video memasak produk Sabah paling kreatif serta video memasak produk Sabah paling popular. – Bernama