Ankara dilanda ribut pasir luar biasa

ANKARA, 13 SEPT – Kejadian ribut pasir pelik melanda Ankara semalam, kata datuk bandar ibu negara Turki, tatkala pegawai berkata enam orang cedera selepas angin kencang membadai bandar itu.

Satu video luar biasa yang dikongsi oleh pejabat datuk bandar menunjukkan kepulan debu besar menyelubungi bangunan di bandar tersebut.

Satu lagi video yang disiar di media sosial oleh Ketua Pengarah Meteorologi Turki menunjukkan kepulan debu menyelubungi rumah di ibu negara, dan juga kilat.

Ketua pengarah berkata di Twitter bahawa ribut pasir dan hujan akan berterusan sehingga 1600 GMT di ibu negara, yang sejak akhir bulan lalu telah mengalami tempoh kering dan gelombang haba.

Ia mengeluarkan satu amaran mengenai angin kencang dan ribut pasir di wilayah jiran Kirikkale, di tengah Turki.

“Enam orang rakyat cedera ringan akibat terkena objek yang berterbangan di udara selepas angin kencang di Polatli dan daerah sekitarnya berdasarkan maklumat awal,” kata gabenor Ankara Vasip Sahin di Twitter. Polatli ialah sebuah daerah di Ankara. – AFP