Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ankylosing Spondylitis, sakit tulang belakang sepanjang hayat

    Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

     

    KUALA LUMPUR – Bayangkan penderitaan yang perlu ditanggung sepanjang hayat akibat sakit tulang belakang.

    Situasi inilah yang terpaksa dihadapi pekerja kebajikan Tong Yen Yee, 32, dan penganalisis makmal kawasan kualiti, Shaiful Irwan, 27 tahun. Tong dan Shaiful menghidap Ankylosing Spondylitis (AS), sejenis penyakit artritis yang menjejaskan tulang belakang mereka.

    Penyakit keturunan ini amat menyiksakan dan akan bertambah teruk sehingga menyebabkan radang sendi tulang belakang. Keadaan ini akan membuatkan kerosakan struktur tulang belakang yang akhirnya menjejaskan pergerakan serta kualiti hidup pesakit.

    Kesukaran yang dialami  

    Tong memberitahu Bernama betapa sukarnya untuk dia melakukan perkara yang mudah.

    “Sakit saya ini paling teruk bila waktu dinihari. Saya tak boleh bangun dari katil kalaupun saya nak bangun kerana kekejangan di bahagian belakang.

    Sehingga kini, AFM mempunyai lebih 500 ahli dan yayasan ini berhasrat mendidik pesakit mengenai penyakit yang ada kaitan dengan artritis. – Gambar hiasan
    AFM ditubuhkan pada 1995 oleh sekumpulan doktor dan pesakit yang mahu membantu pesakit artritis.
    Sakit belakang yang biasa boleh menjadi baik dengan rehat dan mengurangkan pergerakan tetapi gejala AS tidak berkurangan walaupun penghidapnya berehat dan kesakitan boleh ditangani dengan senaman.

    Ada kalanya berjam-jam saya akan berada dalam keadaan yang demikian. Payah betul nak bangun dan kalaupun sudah dapat bangun, saya tak boleh mandi kerana saya tak boleh capai kepala penyembur air,” Tong berkongsi kehidupan hariannya.

    Menurut Tong meskipun AS bukan mengancam nyawa tetapi ia menjejaskan kualiti kehidupan pesakit. “Ada malam saya sukar untuk tidur kerana rasa sakit yang amat sangat. Keadaan ini akan menjadikan saya begitu tertekan dan rasa lesu sepanjang hari,” tambahnya.

    Tong menggesa mereka yang mengalami gejala AS supaya cepat berjumpa doktor untuk memgesahkan penyakit berkenaan sebelum keadaan menjadi bertambah teruk.

    “AS bukan penyakit yang datang dan pergi. Ia akan bersama kita sehingga hujung hayat kita,” katanya.

    Pengalaman perit Shaiful

    Sementara itu, bagi Shaiful, keadaan penyakitnya yang teruk menjadikan beliau murung kerana sukar melakukan banyak perkara sendiri.

    Beliau yang tinggal bersama keluarganya perlu mendapatkan bantuan adik-beradiknya jika perlu ke bilik air kerana keadaan tulang belakang yang kejang menjadikan begitu sakit untuk beliau berdiri sendiri.

    Beliau turut berdepan dengan masalah di tempat kerja kerana kebiasaannya perlu mengangkat barang yang berat. Keadaan penyakitnya yang teruk membuatkan Shaiful terpaksa kerap mengambil cuti dan akibatnya beliau sering disoal jabatan sumber manusia syarikat di mana beliau bekerja.

    Bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan, beliau mendedahkan bahawa saudara-maranya sering menyoal mengapa orang muda seperti beliau selalu mengeluh kesakitan.

    “Bagi mereka apa yang saya hidapi ini tak pernah mereka dengar, mereka fikir saya ini pemalas dan sengaja tak mahu kerja. Itulah masalahnya kerana ramai yang tidak tahu tentang penyakit ini dan kesannya kepada penghidapnya,” tambah Shaiful.

    Gejala dan rawatan  

    Perunding Pakar Reumatologi Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Dr Sargunan Sockalingam menjelaskan tanda-tanda awal AS lazimnya berlaku apabila pesakit mencapai usia belasan tahun atau awal 20-an. Kebanyakan mereka tidak mengambil berat apabila berasa sakit dan menganggapnya kecederaan akibat bersukan atau salah posisi tidur.

    Menurut beliau sakit belakang yang dialami pesakit AS boleh mengelirukan dan tidak harus dipandang ringan.

    “Satu perkara yang perlu diambil berat apabila mengenal pasti gejala penyakit ini iaitu kesakitan AS akan berlaku apabila seseorang itu berada dalam keadaan berehat, sebagai contoh ketika seseorang itu sedang tidur atau duduk berjam-jam lamanya,” katanya.

    Pesakit yang menderita AS mungkin mengalami pelbagai gejala, daripada kekejangan yang sederhana kepada tulang belakang yang terbelit apabila tulang menjadi melekat dalam proses pertumbuhan. Sesetengah pesakit mungkin juga menunjukkan gejala demam, lesu, hilang selera makan dan radang mata seperti kemerahan dan kesakitan dan dalam kes terpencil, mengalami masalah paru-paru dan jantung.

    Apabila penyakit ini semakin teruk, rasa sakit akan menjadi lebih kerap, menyebabkan pesakit tidak dapat pergi ke sekolah atau ke tempat kerja, menjadikan mereka terlantar di tempat tidur.

    Penyakit ini menyerang lebih ramai lelaki daripada perempuan, dengan anggaran nisbah 2:1.5. Beliau menambah berbanding dengan sakit belakang yang biasa yang boleh menjejaskan mana-mana kumpulan usia, pada bila-bila masa, AS pula sering berlaku kepada pesakit di bawah umur 40 tahun, khususnya lewat belasan tahun dan awal 20an serta sakitnya berterusan.

    Belum ada penyembuh

    Sakit belakang yang biasa boleh menjadi baik dengan rehat dan mengurangkan pergerakan tetapi gejala AS tidak berkurangan walaupun penghidapnya berehat dan kesakitan boleh ditangani dengan senaman.

    Menurut Sargunan yang juga Presiden Yayasan Atritis Malaysia (AFM), setakat ini belum ada ubat untuk menyembuhkan AS.

    Bagaimanapun, rawatan biologik didapati berkesan dan dapat membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih baik.

    “Bukan sahaja rawatan biologik dapat membantu gejala AS tetapi ia juga terbukti dapat menyekat penyakit ini daripada menjadi lebih teruk. Ini dapat mengelakkan kerosakan kepada tulang belakang dan mengekalkan fungsi tulang berkenaan.

    Bagaimanapun, kos rawatan biologik ini sekurang-kurangnya RM2,000 satu rawatan dan pesakit berkemungkinan memerlukan rawatan ini sepanjang hayat,” katanya. Ubat biologik diberi sama ada melalui suntikan atau infusi intravena di pusat perubatan.

    Kempen untuk kutip dana

    Memandangkan kos rawatan yang tinggi, AFM melancarkan kempen Will You Back Me Up? untuk mengumpul dana bagi pesakit muda yang memerlukan rawatan biologik. “Kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk membantu kami mengumpul dana dengan menderma kepada Tabung AS. Setiap ringgit yang didermakan akan dapat membantu pesakit muda untuk bergerak semula dan menjalani kehidupan seperti biasa,” kata Sargunan.

    AFM ditubuhkan pada 1995 oleh sekumpulan doktor dan pesakit yang mahu membantu pesakit atritis. Sehingga kini, AFM mempunyai lebih 500 ahli dan yayasan ini berhasrat mendidik pesakit mengenai penyakit yang ada kaitan dengan atritis.

    Mereka yang ingin mendapat lebih banyak maklumat mengenai AS dan Tabung AS boleh melayari laman sesawang http://afm.org.my . – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda