Anna Jobling bangga mengaku orang Melaka

Cara percakapan yang lemah lembut membuatkan peminat tidak menyangka pelakon berdarah kacukan Melayu dan Inggeris, Anna Jobling sebenarnya berasal dari Melaka.

Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 22, berkata, ramai pengikut media sosial yang menganggap karakter dirinya tidak seperti berasal dari negeri bersejarah itu.

“Ramai terkejut apabila saya kongsi di laman Instagram Story kerap berada di Melaka, ramai mesej tanya saya orang Melaka ke? Bila saya beritahu saya orang Melaka mereka terkejut sebab katanya saya tak kasar dan lembut sahaja.

“Orang Melaka ni memang nampak kasar dan lantang dalam percakapan tapi sebenarnya itulah cara kami, kalau orang yang tak kenal mesti ingat kami macam tengah marah, tapi jangan risau kami sangat ramah.

“Walaupun saya dari Melaka tapi saya tak membesar di sana, jadi mungkin itu sebab saya tak lantang atau kasar macam mereka, cuma saya kerap pulang ke kampung ibu di sana dan kebanyakan saudara-mara saya memang gaya orang Melaka.

Anna Jobling mengaku bangga sebagai anak Melaka. – Agensi

“Saya okay sahaja berbual dengan mereka sebab dah terbiasa, memang riuh dan seronok kalau dapat berjumpa, sejujurnya saya bangga untuk mengakui saya orang Melaka,” katanya kepada mStar.

Membesar dalam dua budaya berbeza, pelakon drama Oh My Hantaran ini berkata dia tidak melihat hal itu sebagai satu cabaran atau kesukaran.

Ini kerana dia sudah terbiasa mengadaptasi kehidupan mengikut dua budaya itu sejak daripada kecil lagi.

“Bagi saya tak susah pun membesar dalam dua budaya berbeza sebab saya dah biasa sejak kecil lagi adaptasi dua budaya itu secara semula jadi. Lagi pula kita di Malaysia, kalau saya membesar di luar negara mungkin agak mencabar.

“Cabaran itu ada apabila saya masuk dalam industri kerana sebelum ini saya kurang bergaul dengan orang Melayu tapi sekarang saya bekerja dalam kelompok masyarakat Melayu dan pelbagai bangsa.” – Agensi