ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
MENAMPILKAN gandingan di antara Hisham Hamid, Mira Filzah, Fikry Ibrahim, Uqasha Senrose sebagai teraju utama, Rahsia Hati Perempuan merupakan sebuah siri drama terbaru arahan Michael Ang.
Di samping itu, siri drama terbitan Hyperpictures Sdn Bhd ini turut membariskan pelakon hebat seperti Eina Azman, Mak Wan, Fauziah Ahmad Daud, Lydiawati, Amir Nafis, Neera Azizi, Ziha Salleh, Nadya Syahera, Natasha Elyzz, Duerra Mitilda, Redzwan Adha dan Shah Faris.
Hakikatnya, siri drama Rahsia Hati Perempuan ini menumpukan kepada aspek cinta dan persahabatan serta hubungan kekasih dan pengorbanan.
Ilaina lakonan Mira Filzah, Zayn lakonan Hisyam Hamid dan Mikael lakonan Fikry Ibrahim bersahabat dari kecil dan terpisah apabila Ilaina berpindah ke luar negara, Australia.
Mereka saling membalas surat namun malang menimpa Zayn dan Mikael apabila rumah mereka musnah terbakar menyebabkan mereka terputus hubungan.

Ketika sudah dewasa, Zayn dan Mikael pergi ke Australia untuk mengubati kekecewaan yang dialami Zayn akibat perkahwinan yang dibatalkan oleh Ayra lakonan Eina Azman.
Semasa bercuti, Ilaina dan Arissa telah menyelamatkan Mikael dan Zayn yang sesat di kawasan perkhemahan.
Ilaina bertemu semula dengan Zayn dan Mikael tetapi Ilaina tidak memberitahu mereka adalah kawan baik dari kecil.
Setelah mengetahui yang Ilaina adalah kawan baik mereka dari kecil, Mikael dan Zayn telah dijemput ke rumah Ilaina.
Ibu Ilaina, Puan Suraya lakonan Fauziah Ahmad Daud tidak senang dengan kehadiran Zayn dan Mikael dan merancang untuk menyatukan semula hubungan Ilaina dengan bekas kekasihnya, Adzim lakonan Amir Nafiz. Hubungan Ilaina dan Mikael kian rapat. Ilaina masih ada hati dengan Mikael walaupun sudah lama terpisah.
Pada masa sama, Arissa lakonan Uqasha Senrose juga menaruh hati terhadap Mikael walaupun mengetahui Ilaina sukakan Mikael.
Ayah Ilaina, Pak Mail pula ingin menunaikan janjinya dengan arwah ayah Mikael untuk mengahwinkan Ilaina dengan Mikael. Mikael dan Zayn mengajak Ilaina pulang bersama mereka ke Malaysia namun dihalang oleh ibunya.
Sekembalinya ke tanah air, Zayn berhenti kerja dan ingin memulakan kerjaya sebagai penulis novel.
Zayn berpura pura menjadi Mikael dalam talian untuk kekal berhubung dengan Ilaina. Mikael pula mendapati dirinya disahkan menghidap penyakit kanser namun dia tidak berterus terang dengan Zayn akan keadaannya.
Lalu apakah kesudahan hubungan persahabatan dan percintaan dalam siri drama dan adakah wujud sebarang perbalahan atau pengorbanan hanya kerana untuk merebut cinta.
Untuk mengetahui siri drama yang banyak dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat ini maka jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Rahsia Hati Perempuan yang disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 10.00 malam di saluran Astro Ria.