ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
DI ANTARA kehidupan dan kematian terjadi sebuah peperangan yang maha dahsyat, peperangan di antara dua dunia dan sebuah kisah percintaan yang tidak dapat dilupakan.
Perkara terakhir dalam ingatan Will Brody, seorang ejen FBI adalah sebuah letusan dan ribuan kaca-kaca tajam menghujani tubuhnya. Apabila dia terjaga, tiada satu pun calar dan luka di atas tubuhnya. Bangunan-bangunan di sekitarnya tidak berpenghuni dan sudah usang.
Kelibat pasukannya tidak kelihatan. Bandar raya Chicago kelihatan suram dengan kereta terbiar di jalanan, dan ruangan angkasa yang sepi daripada pesawat-pesawat yang berterbangan. Hatinya mulai lega apabila dia terlihat kelibat manusia, namun kelegaannya tidak berpanjangan apabila dia melihat mereka berjalan dengan membawa parang di tangan. Selamat datang ke dunia selepas kehidupan.
Claire McCoy berdiri menatap tubuh Will Brody. Sebagai ketua unit di FBI, Claire tidak pernah tidur nyenyak setiap malam. Serangan kumpulan pengganas telah menyebabkan lebih 18 jiwa terkorban dan menyebabkan orang awam berada dalam ketakutan.
Di dalam kekalutan menentang keganasan itu, sesuatu yang indah telah berlaku. Claire telah jatuh cinta kepada Will Brody. Namun sempadan di antara hidup dan mati sangat nipis dan yang paling penting adalah untuk Will bertemu semula dengan Claire.
Daripada penulis terkenal Marcus Sakey, beliau telah menampilkan novel Afterlife, sebuah novel fiksyen yang bertemakan mengenai percintaan dan kehidupan setelah kematian.