Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Antara kehendak hati dan pilihan keluarga

    ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

     

    SEBUAH siri drama terbaru terbitan Enuja Production Sdn Bhd berjudul Kerana Anisa sedang hangat ditayangkan di slot Samarinda di saluran TV3.

    Barisan pelakon utama yang membintangi siri drama tersebut adalah Zara Zya, Mustaqim Bahadon, Fahrin Ahmad dan Sura Sojangi.

    Selain itu, siri drama yang diarahkan oleh Jamal Khan itu turut dibintangi oleh Uqasha Senrose, Syaffiq Sahli, Aman Graseka, Ellie Suriati, Ira Ghani, Shaharudin Thamby, Acap BMB, Aman Shah, Ika Zulkifli, Natasha Ismail, Norazilah Zakaria, Mahsuri Jesuli, Taufik Hidayat Khan, Shamsuri Shahrom, Mell Yahya dan Nor Intan Suria.

    Ia mengisahkan mengenai Anisa lakonan Zara Zya dan Syukri lakonan Mustaqim Bahadon yang berkawan baik di kampung.

    Anisa mempunyai impian besar dalam hidup apabila bercita-cita menjadi seorang peguam dan meminta Syukri untuk menjadi ‘guru’ dan penguat semangatnya.

    Siri drama Kerana Anisa dibintangi oleh Mustaqim Bahadon dan Zara Zya.
    Siri drama Kerana Anisa dibintangi oleh Mustaqim Bahadon dan Zara Zya.

    Bagaimanapun, bapa Anisa, Long Yahya lakonan Aman Graseka menentang persahabatan Syukri dan Anisa.

    Selepas Anisa tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syukri berangkat ke London untuk menyambung pengajian namun mereka meneruskan hubungan menerusi surat.

    Satu hari, Anisa dikejutkan dengan rombongan peminangan daripada Zahid lakonan Fahrin Ahmad. Zahid terpikat dengan kejelitaan Anisa dan menggunakan kekayaan orang tuanya untuk memenangi hati walidnya.

    Anisa menentang kerana mahu meneruskan pelajaran, ditambah pula dia lulus SPM dengan cemerlang sekali. Namun, Anisa tetap dipaksa untuk berkahwin. Selepas berkahwin, Zahid bertindak kejam terhadap zahir dan batin Anisa.

    Malah, Zahid makin menyakiti Anisa apabila mendapat tahu tentang hubungan Anisa dan Syukri.

    Justeru, sekiranya anda berhasrat untuk mengetahui lelaki manakah yang bakal menjadi pilihan Anisa jangan terlepas untuk menonton Kerana Anisa yang ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu jam 10 malam menerusi slot Samarinda di saluran TV3.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda