Antara kesalahan pakaian lelaki dalam Islam

Dalam kehidupan harian, kita sering memandang sambil lewa dan lalai terhadap pakaian yang kita gunakan. Tidak mengira sama ada kaum lelaki atau wanita, asalkan mereka merasa pakaian yang digunakan cantik dan selesa terus lupa pada aurat di dalam Islam.

Apabila membahaskan tentang pakaian, kaum wanita merupakan fokus utama dan aurat bagi pakaian bagi kaum lelaki pula diabaikan. Pada masa kini, bukan saja kaum wanita yang melanggar batas aurat di dalam Islam, malah kini kaum lelaki tidak kurang hebatnya.

Sehinggakan ada yang merasakan pakaian harian yang digunakan sudah memadai mematuhi syarat-syarat menutup aurat. Walhal tanpa disedari sudah melanggar batas aurat seorang lelaki dalam Islam. Justeru beberapa perkara yang menyentuh kesalahan pakaian lelaki:

Menyentuh kepada perkara kesalahan terhadap pakaian lelaki ini lebih banyak tertumpu ketika melakukan aktiviti bersukan. Seperti yang diketahui aurat bagi kaum lelaki adalah antara pusat hingga lutut. Namun, sesetengah lelaki mengabaikannya seperti memakai seluar pendek atau pakaian sukan lainnya yang menampakkan paha yang merupakan termasuk aurat. Setiap muslim diperintahkan menutup dan menjaga auratnya kecuali di depan isteri atau hamba sahayanya.

Selain itu juga, kaum lelaki kini ada yang memakai pakaian nipis dan ketat sehingga menampakkan aurat, lekuk-lekuk tubuh atau sejenisnya maka pakaian itu tidak boleh dikenakan. Pada hakikatnya, bukan dalam Islam saja melarang mengenakan pemakaian ketat dan nipis ini, malah setentunya pemakaian seperti ini kurang elok dipandang oleh orang ramai.

Sesetengah lelaki tidak begitu menitikberatkan pemakaian ketika bersukan yang melanggar batas aurat kaum lelaki seperti memakai seluar pendek. – Agensi
Haram hukumnya bagi kaum lelaki memakai barang-barang perhiasan yang terbuat dari emas seperti jam tangan, kaca mata, butang baju, pen, rantai, cincin dan sebagainya. – Agensi

Perilaku menyerupai seperti kaum wanita merupakan perkara yang paling tidak disukai di dalam agama Islam. Hal ini kerana Allah telah menciptakan hambaNya dengan cukup sempurna. Di mana, agar kaum lelaki menjaga sifat kelelakiannya dan begitu juga wanita untuk menjaga sifat kewanitaannya.

Justeru, mendandan rambut, memakai anting-anting, kalung, gelang kaki dan sejenisnya, merupakan perkara-perkara yang dilarang ke atas kaum lelaki. Hal ini kerana perkara-perkara tersebut merupakan sinonim dengan perilaku yang dilakukan oleh kaum wanita.

Malah pada ketika ini, sesetengah kaum lelaki memakai barang-barang perhiasan yang terbuat dari emas seperti jam tangan, kaca mata, butang baju, pen, rantai, cincin dan sebagainya. Walhal sudah diketahui bahawa haram bagi kaum lelaki memakai emas di dalam agama Islam.

Namun ada yang masih berkeras hati untuk tetap memakainya tanpa merasa takut dengan kemurkaan Allah.

Sebenarnya kita boleh saja mengelak diri daripada kesalahan dalam pakaian seharian. Kita seharusnya peka dan memastikan pakaian yang dipakai adalah bersesuaian dan tidak melanggar batas aurat di dalam Islam. Janganlah kita mengambil ringan tentang aurat di dalam agama, kerana dari sekecil-kecil hal itu lah yang dapat mengubah kita menjadi lebih baik dan mendapat keredaan Allah SWT. – Agensi