Oleh Raz AS
Tidak dapat dinafikan memancing menggunakan umpan tiruan atau lure memberikan keseronokan dan tahap kepuasan yang berlainan dengan memancing menggunakan umpan konvensional.
Keseronokan ini sebahagiannya adalah disebabkan pemancing perlu sentiasa peka dan aktif menggerak-gerakkan umpan tiruan tersebut untuk memimik pergerakan mangsa yang menjadi sumber makanan ikan-ikan buruan.
Berbanding dengan menggunakan umpan konvensional di mana kebanyakan pemancing hanya melontar dan ‘melupakan’ pancing sehinggalah umpan disambar, dalam erti kata lain aktiviti pancingannya lebih pasif.
Oleh yang demikian itu juga, ramai pemancing berpendapat bahawa tahap kepuasan memperoleh ikan menggunakan umpan tiruan adalah tidak sama, tidak kurang juga ada yang mengatakan kepuasannya adalah lebih lagi, jika dibandingkan dengan menggunakan umpan konvensional kerana ditambah dengan kepuasan perasaan berjaya dapat menipu sang ikan.
Namun begitu, juga tidak dapat dinafikan bahawa memancing menggunakan umpan tiruan memerlukan kemahiran khusus yang perlu dipelajari agar misi menipu ikan berhasil atau lebih berjaya dijalankan. Bukanlah sekadar ‘balang’ dan tarik.
Mungkin ramai yang pernah mengalami sendiri melihat ikan galak menyambar makanannya tetapi umpan tiruan yang lontarkan langsung tidak diendahkan. Atau rakan memancing yang berada di sebelah kita atau satu bot dengan kita berpesta sakan menaikkan ikan sedangkan kita hanya menjadi penonton.
Mungkin masih belum rezeki, atau mungkin juga ia adalah disebabkan oleh kesilapan yang dilakukan oleh pemancing sendiri.
Kadang-kadang kesilapan itu kelihatan kecil dan remeh tetapi ia juga boleh memberi pengaruh kepada peluang pemancing untuk mendaratkan ikan.
Kesilapan pertama yang sering dilakukan oleh pemancing yang menggunakan umpan tiruan adalah kesilapan pemasangannya.
Jika umpan tiruan tidak dipasang dengan cara yang betul ia boleh mempengaruhi atau mencacatkan aksi renangannya sehinggakan ikan pun jadi kurang berminat untuk menyambar.
Umpan tiruan yang tidak dipasang dengan betul, terutama sekali jika menggunakan jenis softplastic yang memerlukan pemasangan jighead, akan mengakibatkannya tidak dapat bergerak dengan natural bahkan juga boleh berputar-putar di dalam air.
Selain itu, kesilapan pemasangan juga merangkumi jenis ikatan yang digunakan bersama umpan tiruan tersebut.
Meski tidak semua namun kebanyakan jenis umpan tiruan memerlukan ia diikat dengan ikatan lingkaran, atau loop knot, untuk memberikannya kebebasan bergerak dan beraksi dengan lebih efektif.
Akan tetapi masih terdapat ramai pemancing yang menggunakan ikatan jerut, atau snug knot, untuk mengikat semua jenis umpan tiruan yang diggunakannya, jenis ikatan yang dibiasa digunakan untuk peralatan terminal lain seperti kili-kili dan matakail. Ini akan dapat menghadkan pergerakan dan aksi natural sesuatu umpan tiruan itu.
Kesilapan kedua yang sering dilakukan oleh pemancing adalah pemilihan umpan tiruan yang salah untuk situasi pancingan pada masa itu. Kesilapan ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu pilihan profil, pilihan saiz dan pilihan warna.
Bagi pilihan profil, secara amnya profil umpan tiruan ada dua, iaitu berbentuk ikan dan krustasea. Pemilihan jenis profil yang digunakan ini adalah bergantung pada situasi semasa di mana tempat awda memancing.
Jika di kawasan tersebut awda terlihat banyak ikan-ikan kecil atau ikan menyambar ikan kecil, gunakan profil bentuk ikan.
Manakala jika awda terlihat ikan memakan krustasea seperti ketam atau udang, gunakanlah umpan tiruan yang berbentuk sedemikian.
Antara lain faktor yang boleh mempengaruhi pemilihan profil ini adalah keaktifan ikan, sama ada disebabkan cuaca, suhu dan lain-lain, sekiranya ikan kurang aktif gunakan jenis krustasea kerana persembahannya yang lebih perlahan.
Manakala umpan tiruan profil ikan lebih sesuai digunakan ketika ikan sedang aktif.
Manakala itu, bagi pilihan saiz pula lebih baik untuk ‘match the hatch’.
Ini bermakna sama ada saiz umpan tiruan yang digunakan bergantung pada saiz ikan-ikan yang menjadi makanan pemangsa di kawasan itu, atau juga bergantung pada spesies sasaran, jika memburu ikan besar gunakan umpan tiruan yang besar dan sebaliknya saiz kecil untuk ikan kecil.
Namun apa yang lebih penting lagi adalah untuk mengikut selera ikan pada masa itu, kerana tidak semestinya umpan kecil hanya akan disambar oleh ikan kecil sahaja.
Sekiranya umpan tiruan yang bersaiz besar tidak mendapat sambutan, perlahan-lahan tukar kepada saiz yang lebih kecil, sebagai contoh daripada umpan tiruan bersaiz 6 inci ditukar kepada 5 inci, daripada 5 inci ditukar kepada 3 inci.
Sementara pilihan warna mungkin dianggap sebagai faktor yang kurang penting bagi sesetengah pemancing, termasuklah oleh penulis sendiri, akan tetapi sekiranya warna yang dilontarkan tidak mendapat sambutan tidak perlulah berdegil atau berkeras kepala daripada mencuba warna yang lain.
Akhir sekali kesilapan terbesar yang dilakukan adalah kesilapan persembahan, sama ada tidak mempersembahkan umpan tiruan pada tahap kedalaman yang bersesuaian atau umpan berada di tahap kedalaman yang dimahukan tetapi tidak dipersembahkan dengan betul.
Secara amnya gunakan umpan tiruan selaman dalam atau berat untuk memancing di kawasan dalam dan selaman cetek atau ringan di kawasan cetek, yang penting adalah untuk memastikan umpan tiruan tersebut sentiasa berada di zon strike.
Sebagai contoh umpan tiruan yang mampu menyelam sehingga 10 kaki boleh digunakan di kawasan yang mempunyai kedalaman 10 hingga 15 kaki, manakala yang mampu menyelam 3 hingga 4 kaki lebih sesuai digunakan di kawasan cetek yang kurang dari 5 kaki.
Melainkan ikan buruan awda itu adalah spesies yang suka mencari makan di kawasan permukaan atau berhampirannya.
Bagi pemilihan berat jighead bukan sahaja bergantung pada kedalaman air akan tetapi juga berdasarkan kekuatan arus, yang paling ideal adalah berat yang teringan yang dapat mencecah ke dasar. Sekiranya terlalu berat, umpan akan jatuh terlalu laju dan tidak natural, jika terlalu ringan pula berkemungkinan umpan tidak akan sampai ke kedalaman sasaran.
Semakin lama umpan tiruan awda berada di kawasan zon strike semakin tinggi peluang ia disambar oleh ikan.