RUMAH kediaman Satsuki Sekine telah musnah dalam bencana tsunami pada tahun 2011 yang telah melanda Jepun dan kebanyakan keluarganya telah melarikan diri dalam keadaan panik berikutan tsunami tersebut turut merosakkan pusat nuklear di kawasan berkenaan.
Namun disebabkan oleh situasi itu, Satsuki menjadi salah seorang daripada ahli masyarakat yang menerima penghinaan dan keaiban terutama dalam usahanya untuk mencari perlindungan. Bagi meraih simpati, Satsuki sering dibuli oleh kawan-kawannya.
Situasi ini merupakan sebahagian daripada wabak diskriminasi dalam negara itu di mana yang lemah dan kuat masih dapat dibezakan serta boleh saja dipinggirkan.
“Dia seorang kanak-kanak Fukushima. Dia mempunyai radiasi, jangan dekati dia,” itu adalah antara ejekan yang sering dilontarkan kepada mangsa-mangsa tsunami dan nuklear di Fukushima. Satsuki kini berusia 15 tahun dan tinggal di rumah baru jauh dari kawasan bencana berkenaan. “Rumah saya musnah dalam kejadian gempa bumi itu malah dihanyutkan oleh tsunami. Seorang saudara saya meninggal dunia dalam bencana itu dan kami terpaksa melarikan diri daripada bencana nuklear, selepas itu, ketika di sekolah, saya dibuli dan saya amat tertekan serta terfikir untuk membunuh diri,” tambah Satsuki lagi kepada wartawan AFP.
Satsuki kini berusaha untuk kembali menjalani kehidupan biasa berdekatan dengan rumah asal beliau di mana kawasan berkenaan secara perlahan-perlahan dipulihkan daripada bencana tersebut. Dianggarkan lebih daripada 160,000 penduduk Fukushima telah melarikan diri dan meninggalkan rumah mereka setelah kedua-dua bencana tersebut melanda kawasan berkenaan.


Namun apa yang menyedihkan, kebanyakan kanak-kanak dan golongan muda menghadapi situasi yang mengecewakan di mana kebanyakan mereka telah dibuli, dihina, dipulaukan dan menjadi mangsa keganasan terutama di bandar-bandar besar untuk usaha mencari perlindungan.
‘Pergi sahaja’
Jepun terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai nilai akhlak dan susunan sosial yang baik namun di sebalik itu terdapat juga satu identiti kumpulan yang merimaskan yang berupaya untuk membuli di tahap yang keterlaluan terutama terhadap kanak-kanak dan juga remaja malah situasi ini boleh membawa kepada bunuh diri.
Sejurus selepas bencana tersebut, dianggarkan seramai 18,500 penduduk telah terkorban dan hilang. Ketika itu, Jepun berdepan dengan krisis dan mengalu-alukan pelarian ke wilayah-wilayah yang lain di Jepun untuk mencari perlindungan. ‘Ganbarou Nippon’ (Jangan berputus asa, Jepun) turut dikongsi bersama sebagai sebuah negara yang bangun setelah mengalami bencana dan krisis yang teruk.
Urara Aoyama kini telah berusia 16 tahun sedang berusaha keras untuk tidak membiarkan rakan-rakan barunya terus dibuli yang mana datang dari sebuah keluarga yang miskin dari sebuah bandar bersebelahan.
“Setiap perkataan sangat menyakitkan apatah lagi setelah memasuki peringkat sekolah menengah,” kata Aoyama kepada wartawan AFP. Aoyama dan Satsuki kini rakan baik dan sedang menuntut di sekolah tinggi di bandar Hirono berhampiran dengan rumah asal mereka.
Aoyama juga turut mempersoalkan tentang tahap radiasi yang melanda Fukushima dan berharap agar ia akan cepat pergi. “Kata-kata itu masih lagi kedengaran di telinga saya, kadang-kadang mereka dengan sengaja melontarkannya dengan kuat-kuat,” tambah Aoyama lagi.
Persekitaran toleransi
Asao Naito, seorang pakar kajian buli di Universiti Meiji, Tokyo berkata bahawa sistem pendidikan Jepun telah menyekat keperibadian dan menjadikan kanak-kanak ini cenderung untuk memilih satu aspek yang berbeza.
“Jadi mangsa kepada Fukushima memberikan ruang kepada satu ejekan dan bahan ejekan terutama buat kanak-kanak dan remaja di sekolah-sekolah disebabkan tiada persekitaran toleransi,” kata Asao kepada wartawan AFP. Baru-baru ini telah berlaku satu kes di Yokohama, Selatan Tokyo di mana seorang budak telah diperas ugut meminta bayaran 1.5 juta yen oleh rakan-rakan kelasnya.
Budak itu turut menampar dan menolak mangsa menyebabkan kesakitan serta kecederaan kepada mangsa. Ke Hida, penguam keluarga mangsa berkata bahawa budak itu tidak dapat mengawal perasaan setelah mengetahui ibunya turut menjadi mangsa penderaan daripada jiran mereka.
“Sampah telah dilontarkan di kediaman mangsa malah keluarga mangsa menerima satu pucuk surat tanpa nama mengesa keluarga itu untuk meninggalkan kawasan tersebut,” tambah Asao lagi.
Peguam Tomohiro Kurosawa berkata bahawa sebahagian daripada masalah berpunca daripada masyarakat dan anggapan penduduk yang dipindahkan dari Fukushima sebagai mangsa tidak dilihat sebagai satu isu yang besar kerana pihak berkuasa masih belum dipertanggungjawabkan menangani masalah berkenaan.
“Apabila mangsa cuba untuk bersuara di bawah isu ini, mereka cuba mengaitkan dengan kritikan terhadap negara dan situasi itu menyebabkan mereka dikenakan tindakan sosial,” tambah Tomohiro kepada media.
Gema masa
Tomohiro sebenarnya turut menjadi mangsa radiasi dari Hiroshima dan Nagasaki, berkata bahawa stigma ke atas Fukushima mempunyai gema sejarah layanan keras namun masih lagi bertahan. Walaupun penderitaan mereka sebagai mangsa keadaan, orang ramai cuba menjauhi mereka hanya disebabkan oleh pendedahan radiasi yang bahaya. – AFP