Antartika Argentina alami hari paling panas

BUENOS AIRES, 7 FEB – Antartika Argentina mengalami hari paling panas pada Khamis sejak bacaan suhu di kawasan itu direkodkan, menurut Perkhidmatan Meteorologi Nasional.

Perkhidmatan meteorologi itu memaklumkan suhu meningkat kepada 18.3 darjah Celsius pada tengah hari di pangkalan stesen penyelidikan Esperanza, iaitu suhu tertinggi pernah dicatatkan sejak 1961.

Rekod suhu tertinggi sebelum ini ialah 17.5 darjah Celsius pada 24 Mac 2015.

Kehadiran Argentina di Antartika bermula 114 tahun lalu, termasuk beberapa pangkalan penyelidikan saintifik, dan adalah penandatangan dalam Perjanjian Antartika yang berkuat kuasa pada Jun 1961 serta melarang sebarang aktiviti ketenteraan di benua itu.

Peningkatan pencairan glasier, terutama bongkah ais di Antartika, menyebabkan kenaikan paras laut yang mengancam bandar mega di pinggiran pantai dan negara kepulauan kecil. – AFP