Antetokounmpo pimpin Bucks tuju kejuaraan

LOS ANGELES, 20 OKT – Giannis Antetokounmpo menjaringkan 32 mata ketika Milwaukee Bucks memulakan kempen untuk pertahanan gelaran NBA mereka kelmarin dengan kemenangan 127-104 menentang Brooklyn Nets.

Antetokounmpo kembali ketika membimbing Bucks selepas meraih kemenangan peringkat akhir NBA musim lalu, memimpin bahagian serangan yang termasuk mencatatkan 14 rebound dan tujuh assist.

Pemain paling berharga NBA dua kali tersebut merupakan seorang daripada lima pemain Bucks yang berjaya menjaringkan dua angka ketika peminat meraikan kepulangan pasukan dengan mengangkat sepanduk kejuaraan pertamanya dalam 50 tahun di Fiserv Forum.

Khris Middleton menjaringkan 20 mata sementara Pat Connaughton juga menambah 20 mata. Jordan Nwora menambah 15 mata sementara Jrue Holiday, yang meninggalkan permainan atas sebab kecederaan, menjaringkan 12 mata.

Antetokounmpo gembira dengan cara Bucks mengalihkan tumpuan mereka untuk cabaran Nets selepas perlawanan pra musim.

Aksi pemain Milwaukee Bucks, Giannis Antetokounmpo cuba untuk menghalang percubaan pemain Brooklyn Nets, Kevin Durant dalam separuh masa kedua pembukaan musim di Fiserv Forum. – AFP

Ia adalah kekalahan yang sukar buat Brooklyn, yang telah memulakan musim tersebut tanpa Kyrie Irving.

Pasukan tersebut telah mengetepikan Irving dari bermain untuk masa yang akan datang atas sebab keengganan untuk mengambil vaksin COVID-19, yang tidak membenarkannya untuk bermain di gelanggang sendiri di New York.

Dengan ketiadaan Irving, Kevin Durant memimpin pasukan Brooklyn dengan 32 mata sementara James Harden meraih 20 mata. Pemain baharu, Patty Mills menambah 21 mata sementara Nic Claxton meraih 12 mata.

Pertembungan Milwaukee-Brooklyn adalah salah satu daripada dua perlawanan yang dijadualkan kelmarin untuk melancarkan musim NBA 2021-2022. – AFP