Anthony Joshua puji keberanian Usyk

LONDON, 21 SEPT – Juara heavyweight dunia dari Britain, Anthony Joshua memuji Oleksandr Usyk kerana berani mencabarnya untuk merampas tali pinggang kejuaraannya selepas hanya bertarung dalam dua kejohanan heavyweight.

Joshua akan berhadapan dengan pencabar mandatori Pertubuhan Tinju Dunia (WBO), Usyk di London Sabtu ini, dengan jumlah penonton sekitar 60,000 orang dijangka hadir di Stadium Tottenham Hotspur, padang bola sepak kelab Liga Perdana Inggeris.

Joshua, juara Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF), membandingkan kekurangan pengalaman Usyk dengan legenda tinju, Evander Holyfield sebelum mengambil bahagian dalam pertarungan kejuaraan heavyweight.

Usyk yang menyertai kejohanan peringkat heavyweight pada 2018 setelah menjadi juara dunia cruiserweight mengalahkan Chazz Witherspoon pada tahun 2019 sebelum meraih kemenangan pada November lalu ke atas peninju veteran Derek Chisora.

“Ketika Evander Holyfield dinaikkan ke peringkat heavyweight, saya rasa dia pernah bertarung di acara heavyweight sebelum dia bertarung dengan gelaran juara,” kata Joshua.

Reaksi Anthony Joshua selepas memenangi pertarungan tinju sebelum ini, Joshua akan menentang Usyk di Stadium Tottenham Hotspur, Sabtu ini. – AP

“Usyk bertarung dengan dua heavyweight. Dia melompat terlalu awal.

“Tapi semoga berjaya, dia mesti percaya pada dirinya sendiri. Dia ingin berada di tempat teratas dengan cepat.

“Saya telah melakukan banyak pertarungan, secara jujur saya katakan, yang melibatkan fizikal, mendorong, mempertahankan,” tambah Joshua.

Joshua perlu mengalahkan Usyk untuk terus bertahan dalam pertarungan yang ingin dilihat oleh kebanyakan peminat tinju, pertembungan all-Britain dengan rakan juara heavyweight dunia, Tyson Fury.

Ia juga bergantung pada juara Majlis Tinju Dunia (WBC). Fury berjaya melalui pertarungan ketiga dengan peninju Amerika, Deontay Wilder pada Oktober.

Namun, walaupun Joshua akan jadi pilihan untuk mengalahkan Usyk, dia mengatakan bahawa pertarungan itu tidak akan dimenangi oleh sesiapa yang lebih hebat secara fizikal tetapi sesiapa yang memenangi pertarungan minda.

“Kelebihan secara fizikal adalah satu perkara tetapi ia tidak menjadikan lelaki tertinggi di dunia sebagai juara heavyweight dunia,” kata Joshua.

“Anda harus mempunyai kemampuan mental untuk melakukan apa yang anda lakukan. Dia datang ke gelanggang dengan yakin dan begitu juga saya.” – AFP