‘Antiperkauman tidak boleh diterima’

PARIS, 15 SEPT – Neymar berkata dia ‘bertindak seperti orang bodoh’ selepas dilayangkan kad merah berdepan Marseille tetapi meminta pegawai perlawanan untuk melakukan lebih lagi terhadap diskriminasi selepas menyalahkan pertahanan Sepanyol, Alvaro Gonzalez kerana perkauman.

Penyerang Brazil itu adalah seorang daripada lima pemain dibuang padang selepas pergaduhan pada penghujung saingan PSG yang tewas 1-0 dalam Ligue 1 semalam dan selepas itu mendakwa Gonzalez memanggilnya ‘monyet’ dalam beberapa siri tweet.

PSG menyokong pemain termahal dunia itu, dengan berkata kelab ‘kuat menyokongnya’ tetapi Neymar merumuskan dia akan menerima hukuman yang dijangka didedahkan jawatankuasa disiplin liga Perancis, esok.

“Semalam saya memberontak. Saya dihukum dengan kad merah kerana saya mahu memukul seseorang yang menghina saya,” kata Neymar menerusi kenyataan di Instagram.

“Saya rasa saya tidak boleh meninggalkannya tanpa berbuat sesuatu.”

Neymar dibuang padang kerana menampar Gonzalez di belakang kepa-lanya dengan rakan sepasukan, Layvin Kurzawa dan Leandro Paredes juga dibuang padang selain pemain Marseille, Dario Benedetto dan Jordan Amavi.

“Dalam sukan kami, keganasan, menghina, menyumpah menjadi sebahagian perlawanan, sering menjadi pertikaian. Anda tidak boleh menjadi penyayang.

“Saya faham pemain ini, semuanya sebahagian permainan, tapi perkauman dan tidak bertoleransi tidak boleh diterima,” kata Neymar. – AFP

Pemain Marseille, Alvara Gonzalez (kanan) melepaskan rasa tidak puas hati terhadap Neymar (kiri) semasa perlawanan yang diadakan pada 13 September di Paris. – AFP