Antivaksin berhenti pentingkan diri sendiri

Pelakon dan penyanyi popular, Naim Daniel meminta agar golongan antivaksin COVID-19 tidak bersikap pentingkan diri kerana menjaga nyawa juga adalah perkara utama.

Menurut Naim, kemudahan vaksin yang disediakan kerajaan adalah salah satu inisiatif dalam usaha orang ramai dan negara untuk mencapai imuniti kelompok bagi menghalang penularan wabak berbahaya ini.

“Saya tahu kita semua ada hak dan pilihan masing-masing. Tapi, dalam situasi pandemik yang menular sekarang ini menjaga nyawa itu juga perkara penting. Jadi, berhenti pentingkan diri.

“Ditambah, tiada isu pun untuk vaksin ini kerana majlis fatwa agama sudah memaklumkan ia selamat dan boleh diambil kerana salah satu ikhtiar untuk kehidupan,” katanya.

Ujar penyanyi lagu Sumpah ini lagi, tidak dinafikan memang ada kesan sampingan daripada pengambilan vaksin COVID-19 itu, tetapi ia bersifat sementara dan akan hilang juga.

Naim Daniel meminta agar golongan antivaksin COVID-19 tidak bersikap pentingkan diri. – Agensi

“Saya menyeru kepada semua supaya jangan menolak vaksin COVID-19 dan ambil serius terhadap kesihatan. Ia untuk kebaikan kita bersama dan juga orang-orang tersayang di sekeliling kita.

“Pengambilan vaksin ini sebagai salah satu langkah pencegahan untuk mengelak orang lain sama ada ibu bapa, adik-beradik, saudara mara dan sesiapa saja untuk  dijangkiti,” katanya.

Dalam pada itu, Naim juga kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir golongan anti vaksin yang sanggup membuat pemalsuan sijil orang lain untuk kepentingan diri.

Kini tular di media sosial, tindakan segelintir individu yang didapati menolak vaksin COVID-19 dengan mengaitkan agama sebagai alasan mereka enggan berbuat demikian.

Apapun, Naim yang cukup dikenali dengan kelantangan bersuara di media sosial berkata, sebagai selebriti yang ada ramai pengikut dia hanya menjalankan tanggungjawab sepatutnya.

“Tujuan saya hanya untuk berkongsi dan menyampaikan perkara-perkara positif yang baik kepada masyarakat. Itu lebih penting untuk kita sama-sama terus bersemangat,” katanya. – Agensi