‘AntiVaxMomma’ didakwa jual kad vaksin palsu

NEW YORK, 1 SEPT – Pendakwa raya New York semalam mendakwa 15 individu yang terbabit dalam konspirasi pemalsuan kad vaksinasi didalangi seorang wanita dikenali sebagai ‘AntiVaxMomma’.

Jasmine Clifford, 31, berasal dari New Jersey dituduh menjual kira-kira 250 kad inokulasi vaksin COVID-19 palsu melalui akaun Instagramnya, AntiVaxMomma, kata pejabat peguam daerah Manhattan dalam satu kenyataan. Menurut pendakwa raya, kesalahan itu dilakukan suspek yang juga peniaga dalam talian sejak Mei lalu, dengan menjual kad pengesahan vaksinasi palsu pada harga AS$200.

Tambahnya, Clifford turut bersubahat dengan melakukan penipuan bersama Nadayza Barkley, 27, apabila memasukkan sekurang-kurangnya nama 10 individu ke dalam pangkalan data penduduk New York yang lengkap divaksinasi dengan mengenakan bayaran tambahan AS$250. Barkley didakwa bersama 13 lagi individu yang membeli kad berkenaan dan kesemua mereka dipercayai bekerja dalam sektor penting, termasuk di hospital dan rumah jagaan. – AFP

Gambar serahan Mahkamah Daerah Amerika Syarikat untuk Daerah California menunjukkan dua Kad Rekod Vaksinasi COVID-19 palsu yang menjadi sebahagian daripada aduan jenayah. – AP