Antonio cipta rekod penjaring terbanyak kelab

LONDON, 24 OGOS – West Ham meneruskan rekod cemerlang permulaan musim ketika Michail Antonio memecah rekod kelab menjadi penjaring terbanyak buat West Ham selepas menyumbat dua gol dalam kemenangan 4-1 menentang Leicester yang terpaksa bermain dengan 10 orang, kelmarin.

Pasukan bimbingan David Moyes itu berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Pablo Fornals pada separuh masa pertama di Stadium London.

Nasib Leicester bertambah malang selepas Ayoze Perez dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran ke atas Fornals sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan.

Said Benrahma menggandakan jaringan buat West Ham selepas separuh masa sebelum Youri Tielemans merapatkan kedudukan buat Leicester.

Antonio yang memulakan perlawanan terikat dengan rekod dipegang Paolo Di Canio yang telah menjaringkan 47 gol buat West Ham dalam era Liga Perdana Inggeris.

Pemain berusia 31 tahun itu berjaya memecah rekod tersebut selepas menjaringkan gol kedua semasa akhir perlawanan, meneruskan rekod kemenangan yang dicatat West Ham minggu lalu yang berjaya menundukkan Newcastle 4-2.

“Saya sangat gembira dengan persembahan yang dipamerkannya. Saya kecewa dengan cara dia bermain pada separuh masa pertama namun dia membuktikan pengurus silap selepas apa yang saya katakan kepadanya pada separuh masa,” kata Moyes mengenai persembahan Antonio.

Meskipun West Ham kurang aktif semasa jendela perpindahan musim panas, West Ham kini menghuni puncak liga dan dilihat mampu untuk mengulangi pencapaian musim lalu berada di kedudukan keenam.

The Hammers telah memenangi dua perlawanan pembukaan bagi kempen Liga Perdana Inggeris buat kali kedua.

“Malam yang sangat luar biasa bagi kami. Pasukan bermain dengan sangat baik. Layangan kad merah itu sedikit sebanyak telah merubah perlawanan namun secara keseluruhan kami bermain dengan baik,” kata Moyes. – AFP

Aksi Michail Antonio menjaringkan gol buat West Ham sekali gus mencipta rekod baharu menjadi penjaring terbanyak kelab ketika bertemu Leicester, awal pagi kelmarin. – AP