Friday, February 14, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Antonsen, Yu Qi berentap di final

    KUALA LUMPUR, 12 JAN – Pertemuan ulangan final edisi tahun lepas antara juara bertahan Anders Antonsen dari Denmark dengan pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi, dari China akan berlangsung pada Terbuka Malaysia, hari ini.

    Antonsen, 27, mara ke final selepas menewaskan pilihan kelapan, Kodai Naraoka dari Jepun 21-14, 21-14 dalam masa 57 minit, pada aksi separuh akhir di Axiata Arena Bukit Jalil, kelmarin.

    Pilihan utama Yu Qi pula bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan rakan senegara dan pilihan ketujuh, Li Shi Feng 16-21, 21-5, 21-12 dalam satu lagi aksi separuh akhir perseorangan lelaki.

    Antonsen, pemain nombor dua dunia, amat berpuas hati kerana berjaya mengatasi perlawanan yang panjang dan mencatatkan kemenangan kelima daripada sembilan pertemuan menentang Naraoka setakat ini.

    “Untuk perlawanan esok, saya akan dianggap sebagai underdog tetapi saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berjuang dengan segala yang saya ada dan cuba menikmati pengalaman bermain di Axiata Arena sekali lagi,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan.

    Tahun lepas, Antonsen menumpaskan jaguh China itu dalam straight set 21-14, 21-13 di pentas final.

    Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, pilihan utama An Se Young dari Korea Selatan berpeluang untuk mempertahankan gelarannya selepas menewaskan juara 2022, Ratchanok Intanon dari Thailand 21-14, 21-18.

    Pemain nombor satu dunia itu akan bertemu pilihan kedua dari China, Wang Zhi Yi, yang menewaskan Pornpicha Coeikeewong dari Thailand, 21-16, 21-12. – Bernama

    Gambar bertarikh 14 Januari 2024 menunjukkan reaksi Antonsen ketika menentang Yu Qi pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda