Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Anuar pernah dilamar peminat

    Pada usia yang bakal menginjak 52 tahun pada 15 Februari depan, penyanyi tersohor, Anuar Zain mengakui masih memikirkan soal jodoh.

    Biarpun terus bersendirian, itu tidak bermakna Anuar menafikan fitrah manusia untuk mencintai dan dicintai.

    Andai sampai seru dan ditakdirkan Allah untuk dirinya jatuh cinta dan mendirikan rumah tangga, Anuar memberitahu, dia terima ketentuan itu dengan hati terbuka.

    “Percaya atau tidak, saya masih lagi memikirkan soal jodoh. Saya percaya institusi perkahwinan kerana itu adalah sunnah dan seelok-eloknya buat kita.

    “Jodoh itu rahsia Allah, kita tidak akan tahu bila. Sebagai manusia biasa, kita hanya mampu berdoa.

    Anuar Zain mengakui masih memikirkan soal jodoh. – Agensi

    “Jika ada rezeki yang diberi Allah, saya kahwin,” katanya ketika ditemu bual media baru-baru ini.

    Sekalipun pernah melihat ada pasangan tidak bahagia dalam melayari bahtera perkahwinan lalu berakhir dengan perceraian, namun situasi itu tidak pernah menakutkan penyanyi kacak ini untuk bergelar suami.

    “Walaupun banyak kes keruntuhan rumah tangga kita boleh baca dalam media sosial hari ini, namun pada masa sama, ramai pasangan di sekeliling saya mampu mempertahankan perkahwinan hingga akhir hayat.

    “Saya lebih suka melihat dari aspek positif seperti bagaimana pasangan menjaga kerukunan rumah tangga dan kekal bahagia.

    “Momen itu pada saya sangat manis,” luah penyanyi yang popular dengan lagu Andainya Takdir dan Keabadian Cinta ini.

    Terlanjur bercerita soal jodoh, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini sempat berkongsi kisah lucu dilamar peminat.

    “Memang ada peminat yang melamar saya. Tetapi saya anggap itu gurauan dan tidak ambil serius.

    “Malah, kedua orang tua saya pernah berhasrat menjodohkan saya dengan anak-anak kawan mereka.

    “Ketika perancangan itu dibuat, saya memang sibuk dengan kerja. Ketika itu, hendak pergi bercuti pun tidak sempat, apatah lagi mahu fikir soal berumah tangga.

    “Dalam nada bergurau, saya katakan kepada abah, kalau betul dia berkenan dengan gadis yang ingin dijadikan calon menantu itu, biar dia sahajalah yang berkahwin,” imbau Anuar sambil tertawa.

    Sehingga hari ini, belum terdengar Anuar menjalin hubungan cinta, selain sekadar gosip yang kemudiannya hilang dibawa angin lalu. Bagi Anuar, rupa dan ciri fizikal bukanlah keutamaan dalam mencari calon isteri.

    Namun, percaya dengan qada dan qadar, Anuar berkata, jika ditakdirkan dia terus hidup solo buat selama-lamanya, Anuar reda dengan ketentuan itu. Pada sesi temu bual itu, buat kali pertama, Anuar membuka mulut mengenai pembabitannya dalam jemaah tabligh yang tular, tahun lalu. Namun, Anuar berkata, dirinya masih sama.

    “Saya masih lagi orang yang sama. Saya berharap dapat meningkatkan amalan. Hendak cakap lebih-lebih pun, saya bukanlah berhijrah hingga sampai tahap mahu meninggalkan dunia seni.

    “Saya hanya mahu menjadi seorang manusia yang lebih baik… Doakan saya,” pintanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...