Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Anugerah CIPTA serlah daya kepintaran eksklusif

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Saban tahun, pengungkayahan pertandingan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) semakin dilihat mampu membakar semangat inovasi dalam bidang kemahiran sains dan teknologi untuk sama-sama bertindak sebagai dorongan ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat yang celik teknologi.

    Dengan tumpuan untuk menangani isu kritikal mengenai kemapanan, tema anjuran ke-10 pertandingan Anugerah CIPTA DPMM 2023 iaitu Inovasi untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dibangunkan untuk bertindak balas kepada agenda SDG 2030, yang juga selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

    Pelbagai idea dan penyelesaian yang cemerlang untuk menangani cabaran semasa di mana golongan usahawan, inovator dan belia berwawasan daripada pelbagai latar belakang telah berkumpul untuk mempersembahkan konsep revolusioner mereka, dan mampu memikat penonton dengan daya cipta dan kepintaran mereka.

    Pertandingan tersebut, yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang ditaja oleh Brunei LNG, menyediakan platform untuk minda yang luar biasa menunjukkan kebolehan mereka.

    Berangkat ke majlis penganugerahan hadiah kelmarin ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UTB.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan hadiah tempat kedua kepada Dayang Sarinah dan Dayang Nursheila dari Rumine Corporation semasa majlis berkenaan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyaksikan projek yang dihasilkan semasa majlis berkenaan.
    Piala Anugerah Cipta DPMM 2023 dipamerkan semasa majlis berkenaan.

    Daripada 68 penyertaan diterima untuk pertandingan kali ini, hanya 38 sahaja yang layak untuk memasuki pertandingan akhir. Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu, Kategori Tempatan, Pertandingan Junior Pintar dan Kategori ASEAN.

    Bagi Kategori Tempatan, ia terdiri daripada tiga kategori yang termasuk Kategori 1, Penciptaan Produk, Proses atau Teknologi Baharu; Kategori 2, iaitu Pengubahsuaian Produk, Proses atau Teknologi yang Sedia Ada; dan Kategori 3, Penciptaan Produk, Proses atau Teknologi Baharu atau Sedia Ada bagi Pencipta Muda.

    Sementara itu, Pertandingan Junior Pintar dibuka kepada pelajar sekolah menengah bawah Brunei atau bersamaan dengan Tahun 7 hingga Tahun 9, sementara Kategori ASEAN terdiri daripada dua kategori, iaitu Kategori Ciptaan dan Inovasi Baharu dan Kategori Pencipta Muda.

    Meskipun tiada pemenang yang layak menerima Piala Anugerah CIPTA DPMM 2023 untuk pertandingan tahun ini, tetapi terdapat beberapa projek yang ikut serta pada tahun ini mempunyai kualiti yang tinggi namun projek-projek berkenaan tidak dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan dan tidak mencapai markah 90 peratus ke atas.

    Salah satu projek yang tidak kurang hebatnya bertajuk A Sustainable and Immersive Experience of Simulation Training Platform in Agriculture Using Extended Reality (XR) Technology memenangi tempat kedua bagi Kategori Tempatan 2 hasil ciptaan dua orang anak tempatan, Dayang Sarinah binti Ziziumiza dan Dayang Nursheila binti Ziziumiza, dari Rumine Corporation.

    Berkesempatan ditemui penulis, Dayang Sarinah menjelaskan bahawa Agricultural XR Training Simulation merupakan alat pembelajaran maya inovatif yang direka untuk petani dan pelatih dalam bidang pertanian.

    Ujarnya, simulasi latihan itu dimanfaatkan dengan realiti maya (VR), realiti tambahan (AR), dan sensors daripada gerakan tangan untuk mencipta pengalaman latihan yang menyeronokkan.

    “Khalayak sasaran untuk produk ini termasuk pelatih pertanian dan bakal pekerja dalam industri perladangan. Produk itu mempunyai beberapa ciri utama yang meningkatkan pengalaman pengguna. Pertama, ia menawarkan pemandangan panoramic 360 darjah dari perspektif orang pertama sehingga memberikan pengguna persekitaran yang mengasyikkan.

    “Selain itu, ia menggabungkan pengesanan interaktif, membolehkan pengguna berinteraksi dengan semua butang dan elemen dalam persekitaran simulasi. Tambahan pula, produk ini menggunakan teknologi mengenal pasti gerak isyarat, membolehkan pengguna melibatkan diri sepenuhnya dengan model simulasi menggunakan gerak isyarat dan pergerakan semula jadi,”tambahnya.

    Dengan melaksanakan kaedah latihan inovatif itu, simulasi latihan berkenaan turut dapat menangani beberapa cabaran yang dihadapi oleh petani. Pertama, ia mengurangkan keperluan untuk melabur dalam peralatan dan sumber canggih yang mahal dengan menyediakan alternatif maya yang kos efektif. Kedua, ia memendekkan masa latihan dengan ketara kerana individu boleh belajar dan berlatih secara bebas, dibantu oleh tutorial dalam aplikasi.

    “Pendekatan yang mudah dan boleh diakses itu memperkasakan pengguna untuk belajar mengikut kadar mereka sendiri.

    “Selain itu, jurulatih boleh menggunakan simulasi untuk menilai keupayaan pelatih dengan berkesan, mendapatkan pandangan tentang kemajuan mereka dan bidang untuk penambahbaikan. Akhir sekali, penggunaan sistem VR membantu mengurangkan bahaya dan risiko yang berkaitan dengan kaedah latihan tradisional. Pelatih boleh melibatkan diri sepenuhnya dalam persekitaran maya, membolehkan mereka berlatih dan berinteraksi tanpa kebimbangan, sekali gus meningkatkan kemahiran dan kebiasaan mereka dengan proses latihan,” tekannya.

    Dayang Sarinah terus menyakini bahawa dengan menerusi perkembangan masa depan bagi platform projek berkenaan, ia akan membangunkan persekitaran metaverse learning yang tertumpu pada bidang pertanian sehingga menyediakan ruang maya di mana golongan pelajar boleh melibatkan diri dengan konsep pertanian, amalan dan simulasi.

    “Ia menawarkan ciri seperti simulasi ladang yang mendalam, lawatan lapangan secara maya ke landskap pertanian, pelajaran interaktif mengenai penanaman tanaman dan pengurusan ternakan, dan akses kepada pengetahuan dan sumber pakar,” kongsinya lagi di akhir pertemuan bersama Media Permata.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...