Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan komunikasi satelit di Negara Brunei Darussalam, telah dinobatkan sebagai naib juara dalam kategori industri ICT bagi Anugerah Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2022 menerusi aplikasi perisian OBSERVE for Maritime.
Ketua Pegawai Eksekutif NiAT, Lim Ming Soon, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, dipetik berkata bahawa NiAT berbesar hati menerima anugerah itu yang mana pencapaian projek itu menjadi pemangkin untuk terus mencapai kecemerlangan inovatif sekali gus sebagai usaha berterusan menyediakan pengalaman yang lebih baik kepada para pengguna.
NiAT menyatakan apli-kasi tersebut menunjukkan kepantasan inovasi teknologi yang terus diterokai dan dilaksanakan oleh NiAT untuk menyediakan penyelesaian berasaskan satelit unik yang bertujuan untuk memberikan keupayaan yang dipertingkatkan bagi pihak berkepentingan dalam domain maritim dan pelabuhan.
Platform berkenaan menampilkan sistem pemantauan kapal yang menggunakan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) berasaskan satelit dan data cuaca bagi menyediakan near-real-time visualisasi berhubung kesedaran situasi maritim di atas kandungan yang dijana pengguna, seperti laporan penglihatan dan lapisan topografi, yang begitu unik untuk setiap pengguna.
Selain itu, ia juga mampu menjalankan pelbagai analitik seperti analisis insiden, fleet tracking, geofencing, dan kaedah untuk mengindeks risiko dan pematuhan.
NiAT berhasrat untuk mendalami ciri-ciri berkaitan tindakan iklim bagi membantu dalam mengurangkan kesan perubahan iklim, seperti paras laut yang meningkat, air yang lebih panas dan berasid, dan keadaan cuaca ekstrem yang lebih kerap, yang semuanya mempunyai kesan ketara ke atas mata pencarian dan keselamatan masyarakat pesisir pantai dan di negara ini secara keseluruhannya.