FILEM One Two Jaga dinobat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30) yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.
Selain pengiktirafan tertinggi terbabit, karya terbitan Pixel Play Entertainment arahan Namron itu turut mencipta kegemilangan dengan membawa pulang lima lagi anugerah lain. Bintang utamanya, Rosdeen Suboh, diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Namron sendiri berjaya menjulang trofi Pengarah Terbaik.
Filem itu juga memenangi Kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Poster Terbaik. Bersaing dengan empat filem hebat iaitu Dukun, Paskal The Movie, Vedigundu Passange dan Guang, karya itu mengangkat kisah sisi gelap dunia kepolisan dengan paparan segelintir anggotanya terbabit dalam gejala rasuah serta jenayah.
Trofi disampaikan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo, yang turut merasmikan malam kemuncak festival berkenaan. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia, Eddin Syazlee Shith; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Samsuni Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Seperti diramalkan, lakonan hebat Datin Seri Umie Aida dalam Dukun sekali lagi melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik. November lalu, Umie menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2018, menerusi naskhah sama.

Lakonan Nabila Huda dalam Makrifat Cinta pula memikat hati juri untuk memilihnya sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, manakala Hasnul Rahmat daripada Polis Evo 2 sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Trofi Pelakon Lelaki Harapan menjadi milik Kyo Chen hasil persembahannya menerusi Guang, manakala Kategori Pelakon Wanita Harapan diungguli Jaya Ganason (The Farm En Veettu Thottathil).
Eng Wei Jie pula dipilih sebagai Pelakon Kanak-kanak Terbaik menerusi Rise Of The Legend: Lee Chong Wei. FFM30 turut mengiktiraf filem Paskal The Movie, Vedigundu Pasangge dan Busker untuk menerima Anugerah Khas Juri.
Penghormatan juga diberikan kepada pengarah dan pelakon, AR Badul, yang menerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman. Mengangkat tema Inspirasi Sinemaku, FFM30 menyaksikan 42 filem bersaing merebut 27 trofi dipertandingkan, termasuk tiga anugerah khas. Daripada karya terbabit pula, 25 daripadanya adalah filem berbahasa Malaysia, Mandarin (lapan), Tamil (tujuh) dan dua lagi Kantonis.
Acara itu dihoskan artis serba boleh, Nabil Ahmad, yang bergandingan dengan Adibah Noor. Ia diserikan dengan persembahan Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datin Alyah, Jaclyn Victor, Hafiz Suip, Ernie Zakri, Sophia Liana, Zizi Kirana, Syamel, Billy Zulkarnain dan Innuendo. – Agensi





























