Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Anugerah HBK inspirasi pembangunan masyarakat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Anugerah Hari Belia Kebangsaan (HBK) 2023 bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-18 dibahagikan kepada empat kategori iaitu Anugerah Belia Cemerlang (BC), Anugerah Belia Berkhidmat (BB), Anugerah Pemimpin Muda Belia (PMB), dan Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia (PCUB).

    Anugerah BC merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada seorang belia yang telah memberikan sumbangan jasa yang cemerlang dalam apa jua bidang diceburi atau memperlihatkan usaha-usaha yang membuahkan hasil membanggakan dan mengharumkan nama negara.

    Pencapaian yang cemerlang diperolehi di peringkat antarabangsa merupakan satu keutamaan selain di peringkat serantau dan kebangsaan pula merupakan satu kelebihan dalam pelbagai bidang sama ada keagamaan, kesukanan, pendidikan, keusahawanan, sains, teknologi, kebudayaan, kesenian dan sebagainya.

    Perkara itu disentuh dalam taklimat disampaikan oleh Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman dan diselajurkan dengan penyampaian Taklimat Tatacara Pendaftaran Anugerah Hari Belia Kebangsaan oleh Awang Mohamad Ali Noh yang diadakan di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

    Menurut Hajah Maslina, Anugerah BB merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada para pemimpin belia atau belia yang telah memberikan sumbangan atau khidmat secara sukarela mereka secara berterusan untuk masyarakat terutama golongan belia di negara ini dalam pelbagai bidang sama ada keagamaan, kemasyarakatan, kesukanan, pendidikan dan sebagainya.

    Awang Mohamad Ali Noh semasa menyampaikan Taklimat Tatacara Pendaftaran Anugerah Hari Belia Kebangsaan.
    Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Hajah Noor Maslina semasa menyampaikan taklimat mengenai Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2023.
    Antara yang hadir bagi mendengarkan taklimat tersebut.

    Anugerah PMB pula merupakan pengiktirafan atas khidmat cemerlang yang telah diberikan oleh pemimpin muda dalam memajukan pergerakan belia yang telah dipimpinnya secara berterusan dalam pelbagai bidang sama ada keagamaan, kemasyarakatan, kesukanan, pendidikan dan sebagainya.

    Di samping itu juga sebagai penghormatan yang berterusan bagi ikutan dalam melahirkan pemimpin belia yang berwibawa, berwawasan dan berhemah tinggi. Bagi Anugerah PCUB pula, pengiktirafan diberikan kepada projek belia dalam pelbagai bidang yang berjaya menjadi inspirasi dan model kepada pembangunan masyarakat secara am dan khususnya kepada para belia.

    Projek berinovasi membangunkan dan memajukan agensi, organisasi atau persatuan atau pergerakan belia dan satu kelebihan jika projek tersebut membukakan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat khusus dalam kalangan belia serta menyumbang kepada pembangunan belia dan ekonomi negara iaitu Projek Cemerlang Untuk Belia Bidang Sosial Ekonomi (PCUBSE); dan Projek Cemerlang Untuk Belia Bidang Gaya Hidup Sihat (PCUBGHS).

    Projek PCUBSE melibatkan sumbangan dalam pembangunan belia dan mempelbagaikan ekonomi negara serta kesukarelawanan. Kemampuan projek yang mampu membukakan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat khusus dalam kalangan belia di negara ini adalah satu kelebihan. Projek PCUBGHS pula menjurus kepada mempromosikan kesihatan dan sukan riadah dalam pemerkasaan, penjagaan kesihatan kepada masyarakat di negara ini.

    Kemampuan projek yang memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk menanam amalan budaya sihat serta meningkatkan kefahaman atau pendirian diri mengenai kepentingan menjaga kesihatan masing-masing adalah satu kelebihan, tambah Hajah Noor Maslina.

    Taklimat pemberigaan telah dihadiri oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Kamal Ariffin bin Pengiran Haji Mohd Yassin, serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin dan Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong.

    Majlis turut mendengarkan sesi perkongsian bersama penerima Anugerah BB, Tahun 2021 iaitu Pegawai Sejarah Kanan, Bahagian Perpustakaan dan Pembelajaran, Pusat Sejarah Brunei, Awang Muhammad Syahmi bin Halimshah.

    Sebelum majlis bersurai, sesi soal jawab turut dibukakan kepada yang hadir mendengarkan taklimat-taklimat tersebut. Syarat-syarat permohonan bagi semua kategori anugerah adalah pencalonan terbuka kepada rakyat atau penduduk tetap di negara ini, lelaki atau perempuan (belia perseorangan atau belia-belia di dalam pergerakan atau organisasi yang diiktiraf).

    Bagi kategori PCUB / BC / BB, mereka hendaklah berumur antara 15 hingga 35 tahun (tidak lebih dari 35 tahun pada 1 Ogos 2023). Bagi kategori PMB, mereka hendaklah berumur antara 15 hingga 45 tahun (tidak lebih dari 45 tahun pada 1 Ogos 2023).

    Syarat-syarat lain termasuk surat sokongan pengesahan daripada mana-mana pihak atau individu juga diperlukan, belum pernah menerima Anugerah Hari Belia Kebangsaan bagi kategori yang sama, dan mengisi permohonan dengan lengkap dan menyertakan dokumen yang dikehendaki. Permohonan yang tidak lengkap dan tidak mengikut syarat-syarat yang dikehendaki tidak akan dipertimbangkan.

    Orang ramai boleh mendaftar melalui pautan https://tinyurl.com/AHBK2023 dan maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman sesawang Hari Belia Kebangsaan. Tarikh tutup pencalonan ialah pada 5 Jun.

    Sebarang pertanyaan mengenai anugerah tersebut bolehlah menghubungi Urus Setia Anugerah Hari Belia Kebangsaan Ke-18 Tahun 2023, Jabatan Belia dan Sukan di alamat Tingkat 3, Bahagian Belia, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan atau ditalian 2381903/4/5 sambungan 1300/1304 semasa waktu pejabat atau e-mel anugerah.hbk2023@gmail.com.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...