Anugerah iktiraf belia berjasa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin belia dan belia yang telah memberikan sumbangan yang bermakna dan berjasa, Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini akan diisikan dengan Anugerah Hari Belia Kebangsaan.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, menjelaskan bahawa anugerah berkenaan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Anugerah Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang Untuk Belia.

Kenyataan menyatakan bahawa anugerah berkenaan juga bertujuan untuk memberikan sumber inspirasi dan ikutan kepada belia negara ini kepada kejayaan dan kecemerlangan yang telah dicapai dalam kategori-kategori yang tersebut.

Sehubungan itu, KKBS mengalu-alukan pencalonan orang ramai bagi empat kategori anugerah tersebut yang boleh dibuat secara dalam talian (online) melalui laman sesawang rasmi Sambutan Hari Belia Kebangsaan iaitu hbk.gov.bn. Pencalonan akan ditutup pada 27 Jun, pukul 4 petang.

KKBS dalam kenyataannya turut menyatakan bahawa pelaksanaan Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini adalah tertakluk kepada ketetapan. Untuk makluman lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Urus Setia Anugerah Hari Belia Kebangsaan di talian 2381903 sambungan 1300 / 1304 / 1310.