Anugerah jadikan jiwa pengakapnya terus berkobar

Oleh Nurdiyanah R.

Tanggungjawab memimpin sering datang dengan komitmen untuk amanah, mempunyai visi, misi dan semangat serta bersikap dinamik dan praktikal selain menghiasinya dengan keikhlasan lebih-lebih lagi bagi pemimpin persatuan atau pertubuhan berpakaian seragam.

Ia lebih lagi perlu dijaga rapi apabila menerima penganugerahan kerana ia bukan sahaja tanda penghargaan, malahan pembakar semangat diri dan rakan-rakan seperjuangan yang lain agar terus melangkah menanai tanggungjawab memimpin generasi penerus bangsa dan negara,” kata belia yang menerima anugerah Kategori Belia Berkhidmat 2021, Awang Muhammad Syahmi bin Halimshah sempena Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-16 pada awal Ogos lalu.

Awang Muhammad Syahmi yang juga ahli Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) ketika ditemu bual penulis, berkongsi kegembiraan menerima anugerah tersebut dan menceritakan detik mula menyukai pasukan pengakap.

Detik tahun 2000, berseminya jiwa kepimpinan

Berkongsi mengenai penglibatannya dalam PPNBD, Awang Muhammad Syahmi yang kini memegang jawatan selaku pesuruhjaya perhubungan awam dan penerbitan, PPNBD itu me-nerangkan tahun 2000 merupakan detik permulaannya mengikuti pergerakan pengakap iaitu di bawah ahli Pasukan Pengakap 1024, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien sebagai ahli pengakap muda seterusnya menjadi ahli pengakap remaja.

“Sejak itulah, saya didedahkan dengan konsep berkhidmat, menjalankan dan mengendalikan program-program pengakap, diberikan peranan sebagai ketua patrol. Selaku seorang pemimpin pengakap, amanah yang diberikan perlu ditanai untuk mendidik ahli-ahli pe-ngakap, khususnya dalam pendidikan non-formal.

Ahli pengakap juga perlu bertanggungjawab terhadap alam sekitar, negara dan agama.
Awang Muhammad Syahmi bersama anugerah Kategori Belia Berkhidmat 2021 diterima pada majlis penganugerahan Hari Belia Kebangsaan awal Ogos lalu. – Gambar serahan Awang Muhammad Syahmi.
Ahli-ahli pengakap bimbingannya diterap dengan semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat melalui pelbagai cara.

“Manakala dalam meniti pergerakan pengakap pula, konsep berkhidmat itu merupakan suatu hal terpenting yang perlu diterapkan sejak awal lagi ke dalam kurikulum pengakap iaitu daripada peringkat pengakap tunas sehinggalah kepada pengakap dewasa,” tekannya lagi.

Minat menyertai pasukan pengakap tidak terhenti meskipun beliau sudah memasuki Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada tahun 2009, bahkan beliau terus bersemangat menjadi ahli pengakap kelana di mana program-program kepimpinan, aktiviti lasak dan kemasyarakatan menjadi aktiviti teras di peringkat berkenaan.

“Semangat kepimpinan itu semakin berkobar-kobar dalam diri dan jiwa ini, lebih-lebih lagi, ketika diberikan tanggungjawab untuk memimpin Pasukan Pengakap Kelana 1016, UBD.

“Selain itu, saya juga berkesempatan menjadi pelatih dan fasilitator ahli-ahli pengakap muda semasa berlangsungnya Kursus Enam Sekawan (Sixers Leadership Course), Kursus Ketua Patrol (Patrol Leader Course) dan Kursus Pengakap Remaja (Venture Scout Leadership Course),” kongsi belia berusia 33 tahun ini lagi.

Selain itu, semasa di bahagian pengakap kelana, beliau juga pernah dilantik sebagai pengerusi Majlis Pengakap Kelana Kebangsaan (Chairman of National Rover Scout Council) selama dua penggal iaitu dari tahun 2011 hingga tahun 2013 dan tahun 2013 hingga tahun 2015. Pelbagai kursus kepimpinan, program kepengakapan telah diungkayahkan oleh belia ini bersama ahli-ahli Majlis Pengakap Kebangsaan. Salah satunya ialah Skim Latihan Pengakap Latihan telah dilancarkan pada tahun 2018.

Berjuang bersama isteri tersayang

Kepimpinan pengakapnya semakin bersemarak dengan adanya sokongan daripada isteri tersayang yang juga salah seorang ahli PPNBD di mana mereka bersama-sama memimpin Pasukan Pengakap Terbuka Kelana 1033.

“Pengalaman yang begitu manis sukar dilupakan, kami berdua melatih dan memimpin ahli-ahli kelana yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi di negara ini. Alhamdulilah potensi yang ada pada belia-belia yang dilatih sangat ketara kerana ahli kelana berkenaan mampu berdiri sama tinggi dengan ahli-ahli pengakap kelana di peringkat Asia Pasifik,” kongsinya dengan penuh kesyukuran.

Selain itu jua, beliau bersama rakan-rakan seperjuangan terlatih yang lain juga turut melaksanakan pelbagai projek dan program kemasyarakatan dan salah satunya yang terbaharu ialah Brunei Scouts E-Sport Challenge.

Semai keikhlasan, kunci segalanya

Berkat kegigihan insan ini dalam menempuhi cabaran dalam PPNBD, tidak dapat disangkal lagi segalanya telah mendorongnya untuk meraih pencapaian-pencapaian yang cukup membanggakan. Antaranya ialah menerima Sijil Penghargaan Ketua Pesuruhjaya Tahun 2011; Manikayu Bahagian Pengakap Muda Tahun 2013; Pingat Peringatan 100 Tahun Pengakap Negeri Sarawak Tahun 2014; Pingat Jasa Cemerlang Pengakap Tahun 2015; Pingat Peringatan 100 tahun Pengakap Negeri Perak Tahun 2015; Anugerah Baden Powell Pengakap Kelana Tahun 2018; dan Pingat Jasa Kebaktian Pengakap Tahun 2021.

Selain itu, Awang Muhammad Syahmi turut menyatakan bahawa dalam apa sahaja yang dilakukan perlu adanya sifat keikhlasan dalam diri kerana apabila sifat ikhlas tersemai maka sudah setentunya diri kita juga akan tenang untuk melaksanakan perkara berkenaan meski pun ianya begitu sukar pada permulaannya.

“Berkarih sehingga belurih, itulah juga sifat yang perlu ditanam dalam jiwa kita apabila ingin melakukan sesuatu perkara agar ia berhasil dengan sempurna, di samping sentiasa menyemai semangat bekerjasama daripada setiap ahli dalam pasukan.

Perlu diketahui juga, sebagai seorang ahli pengakap, menolong orang lain dan mematuhi undang-undang pengakap adalah antara pegangan yang perlu disemai dalam diri dari semasa ke semasa,” katanya dengan penuh kerendahan hati semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.