Anugerah Kewartawanan Kenyalang terima lebih 200 penyertaan

MIRI, 25 Julai – Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2017 yang bakal berlangsung pada 22 November depan menerima lebih 200 penyertaan daripada pengamal media cetak dan elektronik di Sarawak.

Presiden Persekutuan Wartawan Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa KJA, Andy Jong Wan Joon berkata penyertaan masih dibuka dengan tarikh akhir penyertaan ialah 1 Ogos kecuali bagi kategori baharu iaitu Kewartawanan Ekonomi Digital yang dibuka sehingga 31 Ogos.

“Borang penyertaan boleh didapati daripada Ahli Jawatankuasa KJA atau menerusi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Persatuan Wartawan Sibu, Institut Wartawan Rejang, Persatuan Wartawan Utara Sarawak dan Angkatan Zaman Mansang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Andy berkata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dijangka turut menghadiri KJA.

Beliau berkata kerajaan negeri masih menjadi penaja utama KJA dengan Sarawak Energy Berhad, Petronas dan Shell meneruskan sokongan menjadi penaja. – Bernama