Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei 2017 – 2018 yang diadakan buat kali ke-11 telah dilancarkan hari ini pada majlis yang berlangsung di Dewan Sidang Media, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.
Pengarah Program LiveWIRE Brunei, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas dalam kenyataan akhbar berkata, Anugerah Perniagaan LiveWIRE 2017-2018 dianjurkan khusus bagi golongan muda dan berdaya usaha di Negara Brunei Darussalam, yang direka untuk memberi ganjaran dan mengiktiraf mereka yang cemerlang dalam perancangan perniagaan dan operasi perniagaan yang sedia ada.
Setiap tahun, anugerah menunjukkan pelbagai bakat keusahawanan perniagaan belia Brunei dan memilih pemenang yang telah memberi kesan yang mantap di rantau ini.
“Pada tahun ini, LiveWIRE Brunei mengharapkan kemajuan peserta yang bukan sahaja berdaya usaha, tetapi juga dengan visi jangka panjang, matlamat mampan, dan komitmen yang tidak berbelah untuk kecemerlangan. Daripada kalangan yang bercita-cita, kepada mereka memulakan perniagaan hingga ke PKS; adalah antara yang akan menjadi penyertaan perniagaan yang pelbagai yang dijangkakan,” ujarnya.



Beliau seterusnya berkata, LiveWIRE Brunei juga memperkenalkan konsep yang difokuskan oleh industri di mana para peserta diperlukan untuk meneroka idea yang memfokuskan terhadap perniagaan dalam industri berbeza yang akan menyumbang kepada kepentingan nasional negara.
Sementara itu, Pengerusi LiveWIRE Brunei dan Projek Pengurusan Rantaian Bekalan Syarikat Minyak Brunei Shell, Hajah Rosita binti Haji Hassan dalam ucapan alu-aluannya di majlis pelancaran itu menyatakan bahawa LiveWIRE Brunei yang bermula pada tahun 2001 dengan hanya tiga program prinsip utama, kini mempunyai 11 program yang menawarkan kepakaran dalam peranan program-program, skim-skim dan kaunseling.
Menurut beliau, Siri Rancangan Perniagaan LiveWIRE adalah program yang paling popular kerana ia merupakan alat penting untuk semua permulaan perniagaan, penciptaan rancangan, visi dan pelaksanaan.
“Pada masa ini, pemenang-pemenang dari Anugerah Perniagaan LiveWIRE sebelum ini masih terus bergerak ke arah kumpulan usahawan muda yang mantap. Ini termasuk dalam pelbagai bidang pengkhususan; dalam industri tenaga, pembinaan, perdagangan, kewangan dan pendidikan,” jelas Hajah Rosita.
Mereka berharap untuk melihat peningkatan yang berterusan dalam bilangan individu muda yang berdaya usaha dan pelbagai sektor lain dalam industri perkhidmatan dan teknologi maklumat, serta pelancongan.
Beliau, dalam ucapannya juga mengambil contoh salah seorang peserta tempatan LiveWIRE, Adrian Tan Vui Shing yang memiliki dan menjalankan PrintMartz Advertising dan telah memenangi ‘Most Promising Award for Brunei’ di Anugerah Perniagaan ASEAN pada tahun ini, yang telah diadakan pada 6 September lalu di Manila.
Anugerah tahunan yang berprestij itu dianjurkan oleh ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) dan secara konsisten memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat di ASEAN yang cerah dan cemerlang yang berpotensi menjadi pemain ekonomi global.
Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) melalui LiveWIRE Brunei terus menyokong aspirasi Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan masyarakat yang berdaya usaha, usaha berterusan melalui saluran kerjasama dengan Jabatan Tenaga dan Industri Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, universiti-universiti dan institusi tinggi yang lain.
LiveWIRE Brunei juga dapat mempromosikan ahli rangkaian perniagaannya untuk mengambil bahagian dalam Anugerah Keusahawanan Antarabangsa seperti ‘Let’s Go Trade’ (LGT) dan ‘Top Ten Innovators’ (TTI),” jelas Pengiran Redzuan dalam kenyataan akhbar.
Sehubungan itu, Hajah Rosita mengalu-alukan peserta yang telah menjalani perniagaan daripada minimum enam bulan hingga tiga tahun ke atas untuk menyertainya.
Beliau menambah, selain memberikan pengiktirafan dalam Kategori A (Pelan Perniagaan) dan Kategori B (Perusahaan), LiveWIRE Brunei memperkenalkan ‘LiveWIRE Brunei Exemplary Awards’ yang terdiri daripada syarikat perniagaan yang paling mapan; mempunyai potensi yang paling besar untuk pengembangan, pencapaian yang paling progresif dan syarikat perusahaan yang paling cemerlang.
Program Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei adalah sebahagian daripada program antarabangsa LiveWIRE yang berprestij dan penting di seluruh dunia dan dibiayai sepenuhnya oleh BSP sebagai pelaburan sosial perdananya.