Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Anugerah momentum capai kecemerlangan

    Oleh Mu’min Karim
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Seramai 79 orang warga pendidik telah menerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) bagi 2020, 2021 dan 2022 pada majlis penyampaian yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku penasihat bersama majlis.

    Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin menjelaskan bahawa Anugerah Penghargaan Hari Guru diperkenalkan sebagai insentif dan pengiktirafan kepada para pendidik yang telah berjaya memberikan sumbangan signifikan kepada kemajuan sekolah dan institusi-institusi pendidikan dalam bidang yang berkaitan.

    “Penyampaian anugerah ini akan menjadi penanda aras bagi penerima-penerima untuk terus mengekalkan dan meningkatkan pencapaian yang cemerlang.

    “Beberapa orang penerima anugerah selanjutnya menempah kemajuan demi kemajuan hingga disokong pula untuk menerima Anugerah Guru Cemerlang,” jelas beliau lagi selaku pengerusi bersama majlis.

    Acara diserikan dengan tayangan klip video Hari Guru yang mempamerkan aspek pedagogi dan evolusi teknologi dalam pendidikan formal dan agama di Negara Brunei Darussalam melalui perspektif guru serta tayangan klip video lagu tema Hari Guru ke-32, ‘Guruku Harapan Negara’.

    Juga hadir pada majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap, naib canselor, rektor, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan dan KHEU.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan anugerah penghargaan kepada salah seorang guru.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan anugerah kepada salah seorang pendidik.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menghadiri majlis berkenaan.
    Antara pendidik yang menerima anugerah pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...