Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Dalam usaha berterusan untuk membantu, menggalakkan dan memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar cemerlang dari keluarga kurang berkemampuan, Kelab Rotary Bandar Seri Begawan (BSB), hari ini, telah menyampaikan Anugerah Bantuan Pendidikan kepada pelajar serta guru-guru cemerlang di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan dan Pelajar Cemerlang Rotary 2017.
Penyampaian anugerah cemerlang yang berlangsung di Hotel Orchid Garden, Anggerek Desa itu bertujuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah yang kurang berkemampuan dari tiga buah sekolah swasta iaitu dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Sekolah St Andrew dan Sekolah St George.
Selain itu, ia juga bagi mengenal pasti, menganugerahkan dan memotivasikan pelajar-pelajar cemerlang supaya akan mencapai tahap kecemerlangan pendidikan yang lebih tinggi dan memberikan penghargaan kepada guru-guru cemerlang yang dicalonkan oleh sekolah masing-masing.
Hadir menyampaikan anugerah tersebut ialah Presiden Kelab Rotary BSB, Henry Ting.
Beliau dalam kata alu-aluannya juga mengucapkan tahniah kepada semua pelajar dan guru-guru yang menerima anugerah mereka dalam majlis berkenaan serta berharap dengan anugerah itu, ia akan dapat memotivasikan mereka untuk mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, beliau berharap para pelajar cemerlang akan terus berusaha untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya dan cemerlang.
Beliau seterusnya menambah bahawa Kelab Rotary BSB amat gembira kerana berpeluang untuk membuat sesuatu yang mampu untuk merubah dan membantu masyarakat.
Di majlis berkenaan, Anugerah Guru Terbaik bagi Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan telah diberikan kepada Matthew Wong Ing Huong, bagi Sekolah St Andrew pula diberikan kepada Low Fot Tet dan Anugerah Guru Sekolah Terbaik bagi Sekolah St George diberikan kepada Eugenio Vicuna Mendoza.
Manakala itu bagi penerima Anugerah Pelajar Terbaik dari Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan diberikan kepada Vanessa Voon Kai Fong, penerima bagi Sekolah St Andrew pula ialah Calista Shauna Shim Chee Yean dan Su Yee Shien bagi Sekolah St George.
Di majlis itu juga, seramai 12 orang pelajar cemerlang dari keluarga yang kurang berkemampuan telah menerima bantuan.
Pemilihan para pelajar yang menerima bantuan berkenaan telah dipilih berdasarkan kepada pencalonan dari sekolah masing-masing serta para pelajar yang telah menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang dan konsisten.