Anugerah paling berharga

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Al-Quran adalah kitab suci paling agung diturunkan kepada Rasulullah SAW sebagai petunjuk kepada umat manusia.

Membaca, mendengar dan mengamalkannya akan membawa rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada semua.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersabda menekankan perkara itu semasa berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa, Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 2019 pada malam pertama pertandingan, di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

“Rahmat Allah SWT adalah anugerah yang paling berharga dan dengannya juga kita akan hidup dengan tenang dan aman serta lantas mampu berbuat kebajikan serta menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat dan negara amnya.”

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dalam sabdanya turut menekankan mengenai ‘Generasi Al-Quran’ mampu memelihara kesejahteraan dan keharmonian negara, generasi bakal pemimpin kaum keluarga, rakan, jiran dan masyarakat.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa , Peringkat Akhir Kebangsaan 2019, kelmarin.

“Malah Paduka Ayahanda dalam majlis yang sama tahun lepas turut mengurniakan titah agar generasi sekarang perlu terus-menerus berusaha membaca dan memahami Al-Quran.”

Di sinilah pentingnya usaha ke arah membina Generasi Al-Quran ini untuk terus sahaja diperbanyakkan, dipelbagaikan dan dipergiatkan.

DYTM Pengiran Muda Mahkota seterusnya menyeru institusi pendidikan, kementerian mahu pun orang awam untuk berganding bahu bukan saja dalam pengukuhan kemahiran bacaan, bahkan turut memberikan tumpuan kepada tafsiran dan pengajaran ayat khasnya yang berkaitan dengan pembangunan sahsiah dan akhlak belia serta peranan mereka dalam bermasyarakat dan bernegara.

Di samping itu, pengajian-pengajian hadis Rasulullah SAW untuk generasi ini juga tidak kurang pentingnya untuk memahami lebih jelas lagi apa yang dimaksudkan di dalam Al-Quran.

“Apa yang kita mahukan ialah lahirnya Generasi Al-Quran dan hadis yang boleh berfikir, bertindak dan beramal merujuk dan berasaskan Al-Quran dan juga hadis,” sabdanya lagi.

Menurutnya lagi, generasi Al-Quran yang diharapkan seumpamanya dapat dibina melalui persekitaran yang menerapkan penghayatan dan nilai-nilai keislaman, baik di peringkat sekolah mahupun dalam institusi kekeluargaan sendiri.

DYTM Pengiran Muda Mahkota seterusnya bersabda menjelaskan, tiga pendekatan yang berupaya mendukung usaha kebajikan iaitu melalui pemeliharaan sumber makanan dan minuman.

Penyediaan pemakanan yang Halalan Thaiyyiban dan jauh daripada syubhah. Di sinilah peranan para ibu bapa dan penjaga di dalam memastikan makanan yang diberikan kepada anak-anak dan ahli keluarga adalah daripada sumber yang halal, berkhasiat dan terhindar daripada syubhah.

“Sebaiknya setiap keluarga dituntut mengamalkan makan secara jamaah atau bersama, di samping menerapkan adab pengambilan makanan mengikut Sunnah Rasulullah SAW,” sabdanya lagi.

Kedua, para ibu bapa dan penjaga hendaklah sentiasa mengamalkan amalan menunaikan sembahyang lima waktu secara berjemaah, sama ada mengajak ahli keluarga menunaikan sembahyang di masjid atau menunaikannya secara berjemaah di rumah.

Amalan ini bukan saja dituntut oleh Islam malah ianya juga dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan selain memberikan pendidikan disiplin masa, menerapkan nilai-nilai akhlak mulia apatah lagi ganjaran pahala yang banyak serta barakah doa yang diaminkan bersama keluarga.

Ibu bapa juga perlu menekankan serta mengamalkan pembelajaran, pengajian dan pembacaan Al-Quran di samping memperuntukkan masa bersama anak-anak serta ahli keluarga dengan mengadakan tilawah dan halaqah memperbaiki bacaan sesama ahli.

Halaqah ini akan menjadi lebih bererti dan bermanfaat jika ianya dikembangkan dan disertakan lagi dengan bacaan makna ayat-ayat yang dibaca untuk lebih menghayati pengajaran dan peringatan yang terkandung di dalamnya.

Amalan ini sangat efektif jika dibuat secara konsisten sama ada dalam peningkatan keimanan begitu juga dengan semangat persaudaraan keluarga.

“Kita sentiasa berharap dengan memperkukuhkan amalan membaca Al-Quran ini akan menjadikan negara kita sentiasa bergema dengan Al-Quran serta dilimpahi rahmat daripada Allah SWT bahkan bertujuan untuk kesejahteraan hidup dan menjadi bekalan kita di akhirat nanti”, sabdanya.

Tema kali ini iaitu Memperkasa Pembelajaran Al-Quran adalah bertepatan sekali dalam usaha untuk mengukuhkan, menguatkan atau meninggikan tahap kemahiran Al-Quran khususnya di kalangan para pelajar dan juga masyarakat amnya.