Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Anugerah pelajar cemerlang bakar semangat penuntut

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Jabatan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Swasta dan Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama pihak Cambridge Assessment International Education (CAIE) telah mengadakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kementerian Pendidikan 2022 di Dewan Musyawarrah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh yang sekali gus menyempurnakan penyampaian anugerah dan sijil kepada 287 orang pelajar.

    Pada majlis tersebut telah menyaksikan golongan penerima adalah para pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam Peperiksaan GCE ‘A’ Level, GCE ‘O’ Level dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

    Enam kategori anugerah diberikan dari peringkat sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta seluruh negara iaitu Anugerah Cambridge Outstanding Achiever Awards (COAA); Anugerah Pelajar Cemerlang dalam GCE ‘A’ Level / Anugerah International Baccalaureate (IB); Anugerah Pelajar Cemerlang dalam GCE ‘O’ Level/IGCSE; Anugerah Pelajar Cemerlang dalam Pearson BTEC Level 2 Extended Certificate; Anugerah Pelajar Cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR); dan Anugerah Pendidikan Khas (Jabatan Pendidikan Khas).

    Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Awang Ahmad Danish Hakimi bin Shufiady sebelum diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Sekolah-sekolah, JSS, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang, juga selaku pengerusi bersama majlis,

    Majlis turut menyaksikan tayangan video ucapan daripada wakil CAIE dan seterusnya penyampaian anugerah kepada para pelajar yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, Haji Mohd Zaidin bin Haji Mohd Noor.

    Dalam pada itu, setiap penerima Anugerah COAA menerima trofi, sijil pencapaian dan hadiah khas daripada CAIE. Manakala, bagi penerima-penerima Anugerah Pelajar Cemerlang GCE ‘A’ Level, GCE ‘O’ Level/IGCSE, Anugerah Khas GCE ‘O’ Level, Pearson BTEC Level 2 Extended Certificate, PSR dan Anugerah Khas PSR pula, menerima trofi, sijil pencapaian dan wang tunai.

    Majlis tersebut diadakan adalah sebagai sebuah pengiktirafan dan penghargaan atas segala pencapaian cemerlang yang diraih oleh golongan pelajar.

    Dengan perlaksanaan majlis berkenaan, ia sememangnya sebagai dorongan serta galakan kepada pelajar-pelajar supaya lebih bersemangat untuk meraih kecemerlangan di masa hadapan.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang.
    Barisan pelajar yang hadir pada majlis penganugerahan tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...