Anwar: ada ‘sokongan kukuh’ tubuh kerajaan baharu

KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa mendapat sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Anwar berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.

“Alhamdulillah kini saya telah dapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada ahli-ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna kerajaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tanpa mendedahkan jumlah sokongan dan nama parti yang menyokong beliau, Anwar, yang juga Ketua Pembangkang berkata, sokongan yang diterima adalah daripada kalangan pemimpin Melayu dan Islam.

Anwar Ibrahim semasa persidangan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 23 September. – AFP

Membayangkan sokongan itu sebagai jauh daripada majoriti kecil, Anwar berkata semua langkah dan perincian lanjut akan didedahkan selepas pertemuan dan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, ditanya kemungkinan penubuhan gabungan baharu yang bakal menggantikan kerajaan PN, beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu.

“Sudah tentu akan ada satu gabungan dengan rakan yang baharu. Melalui sokongan ini kami akan membincangkan satu bentuk muafakat dan persefahaman yang baharu.

“Kami mahukan sebuah kerajaan yang kukuh dan menolak segala bentuk ketidakadilan,” katanya pada sidang media yang dihadiri pemimpin utama PKR.

Ditanya mengenai kemung-kinan bekerjasama dengan Muhyiddin bagi pembentukan gabungan baharu, ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau mengalu-alukan jika Muhyiddin sedia bekerjasama dan menyertainya.

“Saya tidak mempunyai masalah peribadi dengan beliau. Kesediaan dia bekerjasama akan membantu supaya perubahan dan peralihan, aman dan teratur, seandainya beliau bersedia berkhidmat dengan apa-apa kedudukan yang sesuai,” katanya.

Menyentuh penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar berkata buat masa sekarang pemimpin Parti Pejuang Tanah Air itu belum menunjukkan sebarang sokongan kepadanya.

Presiden PKR itu menegaskan bahawa apa yang diumumkannya hari ini tidak ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang berlangsung. – Bernama