Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Anwar beri keutamaan tangani isu kos sara hidup

    PUTRAJAYA, 25 NOV – Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mula menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri hari ini, menegaskan isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan perpaduan pimpinannya bagi mengurangkan beban dialami rakyat ketika ini.

    Beliau berkata satu pertemuan dengan agensi dan jabatan berkaitan akan diadakan selewat-lewatnya Isnin ini bagi membincangkan isu kos sara hidup termasuk harga barang.

    “Walau ada (petanda) positif umpamanya dengan kekuatan ringgit dan juga soal bursa saham yang menunjukkan keyakinan kepada pentadbiran kerajaan sekarang.

    “Saya rasa, keutamaan itu harus terhadap kos sara hidup iaitu harga barang yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat,” kata beliau pada sidang media pada hari pertamanya di Perdana Putra di sini.

    Anwar hari ini bertemu dengan pegawai tertinggi kerajaan antaranya Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

    Beliau yang berbaju Melayu lengkap bersamping itu turut menerima dokumen rasmi pentadbiran kerajaan daripada Mohd Zuki.

    Anwar turut menzahirkan keyakinan pegawai-pegawai tinggi kerajaan akan membantu kerajaan pimpinannya menangani kos sara hidup yang melanda negara ketika ini.

    “Saya faham Isnin ini cuti awam, kalau mereka (pegawai agensi dan jabatan) agak keberatan saya boleh tangguhkan pertemuan tetapi saya percaya, komitmen pegawai-pegawai ini mereka faham bahawa tugas utama kita adalah untuk ringankan beban dialami rakyat di peringkat bawah,” kata beliau.

    Beliau turut menyatakan Kabinet yang akan dibentuknya nanti akan menaikkan kembali martabat Malaysia ke persada antarabangsa. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang media pada hari pertama beliau memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...