Anwar hargai tawaran anggota parlimen

PETALING JAYA, 9 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau amat menghargai tawaran beberapa anggota parlimen untuk mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkannya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) dan seterusnya menyertai Parlimen.

Namun, Ketua Umum PKR itu berkata beliau tidak mahu tergesa-gesa dan mahu meneliti perkara itu terlebih dahulu selain berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penyertaannya dalam parlimen.

Katanya, walapun Pakatan Harapan secara konsensus telah menetapkan untuk beliau menjadi perdana menteri, namun peralihan kuasa mesti dimulai dengan penyertaan sebagai anggota parlimen.

“Jadi sekarang kita beri sokongan kepada Dr Mahathir untuk menerajui dan memberinya laluan dan ruang penuh untuk beliau mengemudi kerajaan tanpa tekanan dan gangguan. Kalau saya pilih nanti untuk masuk menyertai parlimen, ia adalah sebagai penyokong kerajaan, itu kedudukan saya. Sekarang kita masih teliti tapi ada pandangan dan ada kawasan yang mempelawa, saya hargai tetapi harus diteliti, proses harus berlaku dan harus bermula dengan penyertaan saya di parlimen,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Anwar berkata beliau akan berbincang dengan Dr Mahathir mengenai proses pembaharuan Parlimen dan membolehkan institusi itu untuk berfungsi sebaik mungkin dan kuasa tidak terlalu tertumpu kepada badan eksekutif.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, kelmarin. – Bernama

Dalam pada itu, Anwar turut menempelak pandangan pihak tertentu yang menyatakan bahawa beliau harus menunggu kejadian natural (kematian) yang berlaku ke atas seseorang anggota parlimen untuk beliau bertanding dalam PRK.

“Yang saya tahu pandangan konsensus bahawa peralihan kuasa berlaku dalam tempoh terdekat melalui penyertaan saya dalam parlimen.

“Saya tidak fikir janggal untuk mana-mana ahli parlimen mempelawa saya yang ambil alih, tapi jangan kita doakan orang cepat mati,” katanya.

Tambahnya lagi, peralihan kuasa adalah perkara biasa dan dalam konteks beliau, keputusan mengenainya telah dipersetujui sejak beliau masih berada dalam penjara lagi.

Walaupun konsensus PH menetapkan peralihan mesti berlaku segera, namun beliau berpandangan ia tidak perlu dan menganggap pemilihan PKR adalah keutamaan ketika ini. – Bernama