Anwar Ibrahim bebas

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermesyuarat hari ini dan mempertimbangkan kes rayuan pengampunan penuh beliau, menurut kenyataan Istana Negara.

Ketua umum PKR itu menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan dengan kesalahan meliwat.

Sultan Muhammad V berkenan menerima menghadap Anwar, isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Istana Negara, tengah hari ini.

Anwar sebelum itu dibenarkan keluar wad Hospital Rehabilitasi Cheras, tempat beliau menjalani proses pemulihan selepas pembedahan dan terus ke Istana Negara untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media pertama di kediamannya di Bukit Segambut Dalam selepas dibebaskan kelmarin. Turut hadir isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Bernama

Bergerak dengan iringan kereta dan motosikal polis, Anwar tiba di Istana Negara pada 11:50 pagi dan diterima menghadap Seri Paduka selama hampir sejam.

“Alhamdulillah, terima kasih Tuanku”. Itulah reaksi pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menghadap Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara di sini susulan pembebasannya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama sebelum beredar meninggalkan perkarangan Istana Negara.

Anwar yang berusia 71 tahun dibebaskan serta-merta setelah rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Dengan wajah yang tidak lekang dengan senyuman, Anwar berkata fokus beliau kini ialah untuk pulang ke rumah dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Bersama Anwar, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah.

Dr Wan Azizah berkata beliau memanjatkan syukur di atas pembebasan suaminya hari ini.

“Ia adalah detik yang sungguh bermakna. Saya sangat bersyukur dan lega, Ia satu permulaan untuk membina negara,” kata Dr Wan Azizah. Pembebasan Anwar yang dipenjarakan sejak Februari 2015 itu menjadi lebih bermakna apabila ia dibuat sehari sebelum umat Islam menyambut kedatangan Ramadan, esok.

Pembebasan beliau daripada penjara yang merupakan antara janji Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR, pada pilihan raya umum Rabu lalu, menjadi kenyataan hanya seminggu setelah pilihan raya berakhir.

Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan media bukan sahaja tempatan malah luar negara yang berkampung sejak pagi tadi di hospital dan Istana bagi mengikuti perkembangan pembebasan bekas timbalan perdana menteri dan juga bekas menteri kewangan itu.

Kawasan luar Istana Negara turut dipenuhi penyokong Anwar. Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan kepu-tusan bersalah atas sabitan kes liwat.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, pada asalnya dijadual dibebaskan pada 8 Jun. – Bernama