Anwar: Saya rayu Dr Mahathir kekal sebagai PM

KUALA LUMPUR, 24 FEB – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa beliau merayu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri dalam perjumpaan dengannya awal hari ini.

Anwar berkata beliau telah dimaklumkan mengenai keputusan Dr Mahathir untuk meletak jawatan dalam perjumpaan itu.

“Saya ada bersama dengan dia dan telah dimaklumkan mengenainya, tetapi saya tidak boleh (umumkan) sehingga ia dimaklumkan kepada orang ramai. Saya merayu kepadanya bagi pihak Keadilan (PKR), Pakatan (Harapan),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini mengumumkan bahawa Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ditanya hasil perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Anwar berkata ia hanya perjumpaan bagi menyampaikan pendapatnya dan saling bertukar pandangan. ” … dan bagi mendapatkan nasihat demi kepentingan negara, keamanan, kestabilan, perbincangan secara umum,” katanya.

Dr Mahathir juga hari ini meletak jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang terdahulu menarik diri dari gabungan Pakatan Harapan (PH).

Peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan juga Pengerusi BERSATU mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini beliau berkali-kali mengatakan akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat APEC November ini. Isu perubahan politik kembali menarik perhatian ramai, sejak mesyuarat Majlis Presiden PH Jumaat lalu dilaporkan hangat membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan janji-janji berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri. – Bernama

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika meninggalkan Ibu Pejabat PKR. – Bernama