Anwar selar kebangkitan jingoisme, xenofobia

NEW DELHI, 11 Jan – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebangkitan jingoisme dan xenofobia menimbulkan ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Kebangkitan semula ultranasionalisme adalah satu fenomena global. Ia bunga-bunga ketakutan dan suatu yang berbahaya kepada keamanan dan keselamatan ketika ini. Politik dan polemik identiti ekstrem menyumbang kepada situasi di mana terdapat godaan terhadap keganasan yang membarah. Kita perlu menolaknya,” kata beliau dalam ucapan perpisahan pada petang kelmarin di persidangan geopolitik Dialog Raisina di New Delhi.

Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan jingoisme sebagai sikap (pandangan, fahaman dan sebagainya) yang terlalu mengagung-agungkan kekuasaan atau kehebatan negara sendiri, dan menyokong dasar peperangan terhadap negara lain: maka lahirlah jingoisme, iaitu aliran fahaman yang boleh membawa kezaliman kepada kumpulan lain.

Manakala xenofobia pula ditakrif sebagai perasaan sangat takut atau benci terhadap orang asing. Ketua PKR itu dalam ucapannya menyentuh pelbagai isu, termasuk nasionalisme di Eropah, komunalisme di India, peperangan dan konflik di rantau Arab, ketidaksetaraan ekonomi, dan politik Malaysia susulan pilihan raya umum tahun lepas.

“Kita bertemu pada masa kebangkitan nasionalisme di seluruh dunia yang didorong oleh ketakutan berkepala hitam. Ketakutan terbesar ialah ketakutan terhadap yang lain, terhadap motif, niat dan aspirasi rakyat yang dianggap berbeza,” kata Anwar. – Bernama

Gambar fail pada 13 Disember 2018 menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran dan dialog buku Tian Chua ‘Lakaran Jiwa Merdeka: Catatan dari Penjara Kajang’ di Universiti Malaya. – Bernama