Anwar serah usul hilang percaya terhadap Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 29 JULAI – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan usul bahawa Dewan Rakyat hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata usul itu diserah kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di bawah Peraturan 14(1)(h), 26(1)(d) dan 36(12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan ini saya Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili ahli-ahli Dewan Rakyat mengemukakan usul seperti berikut:

“Bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk hilang kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, Ahli Parlimen Pagoh dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen.

Anwar berkata dalam usul itu beliau menyatakan kenyataan media Istana Negara hari ini telah membidas sikap dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengelirukan Dewan Rakyat dengan menyatakan semua Ordinan Darurat  telah dibatalkan pada 21 Julai, walhal ia telah dititahkan supaya dibentangkan dan dibahas di Parlimen bagi tujuan pengungkaian.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika dihubungi mengesahkan menerima usul daripada Ketua Pembangkang itu. – Bernama

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu ketika sidang media sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula selepas ditangguhkan buat kali kedua sehingga 5:15 petang bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen melakukan ujian saringan pengesanan COVID-19 di Parlimen. – Bernama