BEIJING, 30 MAC – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk meneruskan lawatan rasmi tiga hari bagi memajukan kerjasama strategik antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Pesawat khas yang membawa Anwar dari Hainan, mendarat di Beijing Capital International Airport pada 4:30 petang waktu tempatan.
Beliau diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan mereka disambut Naib Menteri Luar China, Sun Weidong.
Turut hadir Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing serta Timbalan Ketua Kedutaan Besar Malaysia di China, Sanmugan Subramani Anwar akan bertemu Presiden China, Xi Jinping esok, yang mana mereka dijangka akan membincangkan elemen strategik hubungan dua hala dan melakar laluan untuk mengeratkan semula hubungan dalam era pasca pandemik dengan mengambil kira senario antarabangsa yang semakin mencabar.
Beliau juga dijadual bertemu Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan China, Zhao Leji.
Pada Sabtu, Anwar akan diraikan oleh Perdana Menteri China yang baharu dilantik Li Qiang dengan upacara sambutan Rasmi di Great Hall of the People dan disusuli dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara. – Bernama
